ADUN PH Pulau Pinang beri jaminan tidak khianat

Lim Guan Eng. Foto: Bernama
Lim Guan Eng. Foto: Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng mengetuai 21 wakil rakyat 'backbenchers' Pakatan Harapan (PH) di negeri ini dengan menyatakan sokongan terhadap kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Dalam kenyataan bersama mereka memberi jaminan tidak akan khianat pada mandat yang diberikan rakyat dan menolak sebarang usaha pintu belakang untuk menjatuhkan kerajaan PH Pulau Pinang.

Menurut kenyataan itu, mereka sedar terdapat khabar angin kononnya, beberapa orang ADUN PH di negeri ini akan keluar parti untuk menyokong penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang.

"Kami, para 'backbenchers' PH ingin menegaskan bahawa kami tidak akan sesekali khianat mandat rakyat yang telah diperolehi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

"Kami menasihatkan rakan kami yang sudah menjadi pembangkang sekarang, untuk menunjukkan sifat tanggungjawab dan tidak menyebarkan fitnah yang tidak benar sama sekali ini," katanya.

Dalam pada itu mereka menegaskan, sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat melalui mandat PRU-14 adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi dan khianat tersebut tidak akan dimaafkan oleh rakyat.

Mereka juga mengingatkan kepada ADUN yang sebelum ini bersama PH dan kini melompat bersama pembangkang bahawa perbuatan ‘lompat parti’ bukan perkara biasa.

Sebaliknya mengikut Artikel 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang akan digunapakai untuk melucutkan keahlian ahli Dewan yang khianat mandat rakyat, dengan melompat parti.

ARTIKEL BERKAITAN] - Dr Afif umum keluar PKR, sertai Bersatu

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan ADUN Seberang Jaya yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri, Dr Afif Bahardin mengumumkan keluar daripada PKR dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

ARTIKEL BERKAITAN - Dua ADUN Bersatu di Pulau Pinang tarik balik sokongan

Terdahulu dua ADUN Bersatu, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifli Md Lazim (Teluk Bahang) yang sebelum ini bersama PH Pulau Pinang juga menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri dan mereka kini bersama pembangkang di negeri ini.

ARTIKEL BERKAITAN - Saya tiada kena mengena dengan Seksyen 14A: Zolkifli

Kon Yeow sebelum ini berkata PH Pulau Pinang tidak tergugat dengan usaha wakil rakyat pembangkang di negeri yang cuba untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya beliau menegaskan PH Pulau Pinang masih teguh dengan mandat dan sokongan majoriti dan akan terus mentadbir negeri ini dengan sebaiknya.

Katanya, PH di negeri ini yang kini terdiri daripada gabungan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan ketika ini komposisi di DUN menyaksikan PH menguasai 33 kerusi dengan DAP memegang 19 kerusi, PKR (12) dan Parti Amanah Negara (2).

Bagi blok pembangkang 3 kerusi daripada Bersatu, (2) Umno dan satu kerusi PAS manakala satu kerusi lagi belum diketahui statusnya selepas ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim baharu dipecat daripada PKR kelmarin.