Mahkamah denda empat lelaki pindah haiwan ternakan

23 lembu yang dipindahkan tanpa kebenaran sah dengan menggunakan sebuah lori dilucut hak kepada kerajaan dan dibawa ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Kelantan untuk tindakan selanjutnya.
23 lembu yang dipindahkan tanpa kebenaran sah dengan menggunakan sebuah lori dilucut hak kepada kerajaan dan dibawa ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Kelantan untuk tindakan selanjutnya.
A
A
A

TUMPAT - Empat lelaki masing-masing dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah Majistret Tumpat di sini hari ini selepas mengaku salah memindahkan haiwan ternakan tanpa kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Veterina Kelantan pada Disember 2019 dan Mac lalu.

Mereka ialah Nadzri Mohamed @ Mat,46, (bekerja sendiri); Che Muhamad Hanif Che Daud, 28, (pemandu lori); Muhamad Fadli Mohamed Yusof, 24, (bekerja sendiri) dan Muhammad Syazwan Zaid, 24, (pemandu lori) yang mengaku salah terhadap pertuduhan masing-masing.

Berdasarkan pertuduhan, Nadzri Mohamed didakwa memindahkan dua lembu menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero di tepi jalan besar Kampung Bunohan pada jam 5.30 petang, 7 Mac lalu.

Majistret, Ahmad Armi Najamuddin Azmi menjatuhi hukuman denda RM1,500 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda terhadap lelaki tersebut.

Sementara itu, Che Muhamad Hanif didakwa memindahkan 490 ayam menggunakan Isuzu di tepi jalan Pengkalan Kubor-Simpangan pada jam 2.20 pagi, 17 Disember tahun lalu. Dia didenda RM3,500 atau 12 bulan penjara manakala RM1,470 wang hasil jualan dilucut hak kepada kerajaan.

Muhamad Fadli pula didakwa memindahkan 23 lembu menggunakan Isuzu di tepi jalan Kampung Pak Keral pada jam 12.45 tengah malam, 15 Mac lalu. Dia didenda RM5,000 atau 15 bulan penjara manakala 23 lembu dilucut hak.

Muhammad Syazwan didakwa memindahkan 10 lembu menggunakan Isuzu di tepi jalan Chabang Empat pada jam 7.30 pagi, 9 Mac lalu. Dia didenda RM4,000 atau 12 bulan penjara manakala hasil jualan ternakan berjumlah RM8,500 dilucut hak.

Mereka melakukan kesalahan memindahkan haiwan tanpa kebenaran bertulis dan sijil Kesihatan Veterina daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterina Kelantan atau mana-mana pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan mengikut Perenggan (a) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut negeri Kelantan di bawah Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 36(7) akta yang sama. Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM15,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Jabatan Perkhidmatan Veterina Kelantan, Mohd Sharif Sabran manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mereka bebas selepas membayar denda berkenaan.