Jerman siasat 30,000 suspek kes pedofil

Setakat ini, lebih 70 suspek pedofilia dikenal pasti di seluruh Jerman.
Setakat ini, lebih 70 suspek pedofilia dikenal pasti di seluruh Jerman.
A
A
A

BERLIN - Jerman sedang menyiasat kira-kira 30,000 suspek sebagai sebahagian daripada siasatan meluas terhadap rangkaian pedofil di wilayah Bergisch Gladbach, kata pihak berkuasa hari ini.

Menurut Kementerian Keadilan di Twitter, unit jenayah siber di negeri North Rhine-Westphalia sedang menyiasat seramai 30,000 suspek tidak diketahui dalam kes itu.

"Kami mahu mengheret pelaku dan mereka yang menyokong penderaan kanak-kanak daripada identiti tanpa nama di internet," kata kementerian itu.

Unit jenayah siber ZAC NRW dalam satu kenyataan memberitahu, antara disiasat adalah mereka yang disyaki berkongsi kandungan pornografi kanak-kanak dan remaja termasuk tindakan salah guna fiksyen atau nyata di forum perbincangan dalam talian serta kumpulan sembang tanpa nama.

"Saya tidak boleh jangka sejauh mana penderaan kanak-kanak di internet. Apa yang dibongkar pasukan penyiasat sangat teruk.

"Kita mesti sedar bahawa penderaan kanak-kanak di internet adalah lebih meluas daripada yang kita fikirkan sebelum ini," kata Menteri Kehakiman North Rhine-Westphalia, Peter Beisenbach.

Siasatan tersebut bermula pada Oktober tahun lalu dengan penangkapan seorang suspek di Bergisch Gladbach berhampiran Cologne.

Setakat ini, lebih 70 suspek telah dikenal pasti di seluruh Jerman.

Artikel Berkaitan:

Pada Mei lalu, pesalah pertama yang merupakan seorang anggota tentera berusia 27 tahun dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun dan ditempatkan di hospital psikiatri untuk jangka masa yang tidak ditetapkan. - AFP