Pendeposit TH: Keyakinan kami tak terjejas

No Image Caption
A
A
A

KEYAKINAN terhadap Lembaga Tabung Haji dalam menguruskan simpanan wang untuk menunaikan ibadah haji terbukti tidak terjejas walaupun institusi kewangan Islam itu dihambat pelbagai skandal sehingga hampir memusnahkan imejnya.

Beberapa pendeposit ketika ditemui tetap berpegang teguh serta menyakini bahawa TH adalah tempat terbaik kepada mereka untuk membuat pelaburan dunia dan akhirat.

Shamsudin Shaari, 54, berkata, dia sudah dua kali menunaikan ibadah haji dengan membuat simpanan di institusi berkenaan sejak berusia 20 tahun.

"Walaupun dipalit dengan pelbagai kontroversi, kami melihat cara TH menguruskan pelaburan boleh memberi kebaikan kepada pendeposit. Sehingga ini kami tetap yakin dengan TH," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‘InsyaALLAH TH pulih tahun ini’]

[ARTIKEL BERKAITAN: Tabung Haji: Apa yang perlu anda tahu]

[ARTIKEL BERKAITAN: Skandal TH: Pendeposit tak perlu bimbang]

[ARTIKEL BERKAITAN: Jangan salahkan BN: Najib]

Artikel Berkaitan:

[ARTIKEL BERKAITAN: Tabung Haji akan terus diyakini]

Harapan itu bukan sahaja kepada pendeposit lama, bahkan kepada pendeposit baharu yang berharap pengurusan TH dapat menyelesaikan segala masalah agar agensi itu menjadi satu-satunya pusat dana terunggul di negara ini kerana manfaatnya begitu besar kepada orang Islam.


Kontroversi melanda Tabung Haji tidak menghakis hasrat Suhaila (kiri) untuk membuka akaun bagi empat anaknya.
Kontroversi melanda Tabung Haji tidak menghakis hasrat Suhaila (kiri) untuk membuka akaun bagi empat anaknya.

Keyakinan yang jitu terhadap TH juga diluahkan oleh Suhaila Shably, 46, yang langsung tidak memikirkan sebarang perkara negatif walaupun mengetahui institusi kewangan Islam itu sedang dihambat kontroversi.

Buktinya, dia membuka akaun untuk empat orang anaknya dengan melibatkan jumlah lebih RM4,000 tanpa berasa sebarang keraguan.

Ini bermakna, empat pendeposit baharu menyumbang kepada TH dan Suhaila bertindak demikian demi masa hadapan anak-anaknya.

"Saya tetap yakin kepada TH. Bagi saya tiada apa perlu dirisaukan. TH sudah 50 tahun berperanan membantu orang Islam.

"Hari ini, saya membuka akaun untuk anak-anak sebagai simpanan dan persediaan untuk menunaikan Rukun Islam kelima," kata pekerja swasta itu.

Bagi Fatini Shamleen, 18, pengalaman ibu bapanya menyimpan dalam TH menyebabkan dia tidak peduli dengan kemelut yang berlaku.

"Sebagai generasi muda, saya mengikut pandangan ibu bapa serta ahli keluarga saya. Setakat pengetahuan saya, kontroversi TH didedahkan menerusi media itu langsung tidak menjadi kudis untuk menghancurkan kepercayaan keluarga saya terhadap peranan TH.

"Cuma sebagai generasi muda, saya memang nak lihat TH bersihkan imej dan selesaikan segera masalah kerana inilah satu-satunya institusi kewangan untuk orang Islam yang diyakini di negara ini," katanya.


Mohd Isa
Mohd Isa

Seorang lagi pendeposit Mohd Isa Ramli, 59, memberitahu, walaupun tidak terkesan dengan pendedahan demi pendedahan berkaitan kontroversi salah guna kuasa dalam TH, namun kadang-kala dia tertanya-tanya juga.

"Bila saya baca banyak pandangan dan komen-komen di media sosial, membuatkan saya tertanya-tanya, siapa betul siapa salah dalam isu berkaitan?

"Saya benar-benar berharap supaya dapat peluang menunaikan ibadah haji selepas memulakan simpanan di TH sejak 2008. Namun saya yakin pengurusan baharu TH dapat membetulkan semula keadaan," katanya.

Justeru, rakyat khususnya pendeposit terus menyandarkan keyakinan tinggi kepada barisan pengurusan dan Ahli Lembaga Pengarah TH untuk menggerakkan agenda pemulihan seperti dirangka.