Pemansuhan Akta 202: Bank Rakyat minta semua pihak bertenang

Penutupan Rakyat Holdings tidak melibatkan pemberhentian sebarang pekerja.
Penutupan Rakyat Holdings tidak melibatkan pemberhentian sebarang pekerja.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Rakyat hari ini meminta ahli, pelanggan dan pihak berkepentingannya supaya kekal bertenang selain menegaskan operasi perniagaannya berjalan seperti biasa serta masih menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan tanpa menjejaskan perniagaannya.

Bank berkenaan menerusi kenyataan hari ini berkata, pihaknya menghormati dan menerima pendapat ahli yang juga antara pihak berkepentingan.

"Sebagai sebuah bank koperasi yang mempunyai hampir 900,000 ahli, bank menganggap perbezaan pendapat dalam kalangan ahli adalah perkara biasa terutama untuk sebuah koperasi yang mempunyai jumlah ahli tertinggi di Malaysia.

"Kejayaan Bank Rakyat untuk kekal sebagai bank koperasi Islam yang terbesar di Malaysia adalah didorong sokongan yang diberikan oleh kerajaan kepada bank selama ini," menurut Bank Rakyat merujuk kepada laporan media baru-baru ini berkaitan tuntutan pemansuhan Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978 (Akta 202).

Menurut kenyataan itu, antara pencapaian Bank Rakyat adalah mengekalkan kadar pembayaran dividen minimum 10 peratus atau lebih sejak 20 tahun lepas kepada ahli.

"Bank turut mencatat keuntungan lebih RM1 bilion secara konsisten setiap tahun sejak 2008, manakala penarafan institusi kewangan AA2/Stabil/P1 yang diberikan oleh RAM Ratings kepada Bank Rakyat juga berdasarkan kepada status yang disokong kerajaan, seiring dengan kedudukan sebagai bank koperasi serta institusi kewangan pembangunan.

"Pada tahun ini, Bank Rakyat turut mempercepat pembayaran dividen bagi 2019 sebanyak 14 peratus serta pembayaran zakat perniagaan untuk membantu golongan B40 dan asnaf yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan koronavirus (Covid-19)," katanya.

Bank Rakyat berkata, ia membuktikan bahawa kerjasama yang terjalin dengan kerajaan secara amnya sudah banyak memberikan manfaat kepada ahli dan masyarakat setempat.

Artikel Berkaitan:

“Pencapaian ini juga tidak mungkin dapat dicapai tanpa kesetiaan ahli dan pelanggan bank. Justeru, Bank Rakyat merakamkan penghargaan atas sokongan dan keyakinan kepada bank selama ini,” katanya. - Bernama