Prihatin nasib rakyat ketika ekonomi gawat

A
A
A

SEBAIK sahaja wabak koronavirus (Covid-19) dikesan menular dalam negara kita, kerajaan telah mengambil langkah segera dengan melindungi keselamatan dan kesihatan segenap lapisan rakyat.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, segala kegiatan ekonomi tersekat malahan ramai pekerja hilang kerja dan tidak kurang pula dikenakan potongan gaji.

Maka tidak hairanlah baru-baru ini timbul rungutan pengguna elektrik di seluruh negara terhadap Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang didakwa mengenakan caj elektrik yang terlampau tinggi dalam suasana ekonomi yang sedang gawat.

Biarpun kerajaan telah berjanji akan menyalurkan bantuan melalui Bantuan Pakej Eletrik (BPE) kepada pelanggan domestik sehingga RM77 sebulan secara percuma, bersamaan penggunaan eletrik sehingga 300kWj pertama untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan PKP, isu yang boleh membebankan pengguna seperti itu seharusnya tidak berulang lagi.

Adalah lebih baik sekiranya TNB sebelum melaksanakan sesuatu keputusan, kajian secara mendalam dan rasa keprihatinan kepada pengguna perlu didahulukan.

Selain TNB, syarikat yang membekalkan air ke sekitar kawasan Lembah Klang, Selangor dan Putrajaya iaitu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) turut menjadi sasaran kritikan pengguna apabila mengenakan caj yang kurang munasabah.

Untuk menerangkan pengiraan sebenar, Air Selangor memberi penjelasan mengenai aduan bil air tinggi semasa tempoh pelaksanaan PKP.

Menurut Air Selangor, pihaknya tidak membuat bacaan meter tetapi sebaliknya mengeluarkan bil anggaran berdasarkan maklumat purata penggunaan harian pada bulan sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Namun, rungutan demi rungutan tetap tersebar luas dalam sosial media yang rata-ratanya menuntut penjelasan Air Selangor bagaimana caj yang terlampau tinggi dikenakan terhadap mereka.

Sebagai syarikat yang menyediakan perkhidmatan elektrik dan air kepada masyarakat, TNB dan Air Selangor perlulah berimej sebagai syarikat korporat yang prihatin dan memahami keluh resah rakyat.