Pasca Covid-19: Kerajaan jamin berlaku adil semua negeri

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan memberi jaminan akan berlaku adil terhadkap semua negeri walaupun berada di bawah pimpinan pembangkang sebagai usaha menjana semula ekonomi negara susulan impak penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tidak timbul perbezaan ideologi politik dalam isu pembangunan ekonomi kerana ia adalah tanggungjawab bersama terutamanya ketika pasca Covid-19.

"Kita ketepikan politik, ini adalah masanya kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu berganding bahu untuk menangani cabaran yang dihadapi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid-19.

"Sangat penting bagi kita, kerajaan Persekutuan dan negeri untuk saling bekerjasama,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Selangor yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di sini hari ini.

Sementara itu, menurutnya yang juga Pengerusi MTPNg Selangor, mesyuarat MTPNg bersetuju supaya beberapa projek infrastruktur yang diluluskan sebelum ini disegerakan pelaksanaannya.

Beliau berkata langkah berkenaan dilihat perlu dilakukan kerana projek infrastruktur tersebut mempunyai kesan gandaan terhadap penjanaan ekonomi negeri dan juga negara.

Selain itu, katanya, mesyuarat tersebut juga menumpukan kepada keperluan infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital di Selangor.

"Hari ini, Telekom Malaysia Berhad membentangkan kertas kerja mengenai usaha Kerajaan Selangor untuk meningkatkan infrastruktur jalinan fiber optik di negeri ini dan kita akan memberikan sokongan terhadap langkah tersebut," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: