PRK DUN Chini: 110 permit ceramah dikeluarkan setakat ini

Mohd Razli
Mohd Razli
A
A
A

PEKAN - Sebanyak 110 permit ceramah dikeluarkan daripada 114 permohonan yang diterima daripada semua calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dalam tempoh 20 Jun hingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, daripada jumlah permit dikeluarkan itu, sebanyak 62 melibatkan ceramah statik dan 48 ceramah bergerak.

Menurutnya, empat permohonan permit ditolak kerana tempoh ceramah bergerak yang dipohon melebihi masa yang ditetapkan iaitu dari 10 pagi hingga 9 malam.

"Setakat ini hanya dua laporan polis diterima iaitu satu laporan pada hari penamaan calon 20 Jun lalu berkait perarakan penyokong dan satu lagi dibuat calon Bebas mendakwa gambar beliau sebagai calon Bebas diubah sebagai calon PKR yang dikongsi melalui aplikasi WhatsApp.

"Setakat ini polis belum menerima sebarang laporan polis berhubung kacau ganggu, pergaduhan, rasa tidak puas hati dan kes-kes lain melibatkan PRK ini, " katanya ketika ditemui selepas Program Taklimat Simulasi SOP PRK DUN Chini di Auditorium DRB Hicom di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Abdul Aziz Salleh dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Survelan, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dr Che Asiah Taib.

Mohd Razli berkata, semua pihak rata-rata mematuhi SOP ditetapkan dan proses kempen pada PRK Chini ini berjalan lancar tanpa kejadian tidak diingini.

"Pihak polis menempatkan anggota bagi memastikan situasi di sini termasuk Pasukan Pengkuatkuasa Kempen Pilihan Raya mematuhi SOP ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini tiada tindakan diambil terhadap pihak yang gagal mematuhi SOP terutama dalam pematuhan amalan penjarakan sosial sebaliknya kita akan memberi teguran supaya mereka akur," katanya.

Sementara itu katanya, pengundi yang bergejala wabak koronavirus (Covid-19) diminta memohon kebenaran daripada Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing sebelum keluar mengundi pada 4 Julai ini.

Mohd Razli berkata, permohonan sama juga perlu dilakukan pesakit bawah siasatan (PUI) dan pesakit bawah pemantauan (PUS) dalam kalangan pengundi yang tinggal di luar kawasan DUN Chini.

"Dianggarkan terdapat kira-kira 7,000 pengundi luar bagi PRK ini dan tidak dapat kenal pasti sama ada mereka PUI atau PUS sebab itu kita minta mereka maklum kepada pejabat kesihatan daerah masing-masing sebelum balik untuk mengundi," katanya.