Masyarakat ulang sikap suka buang sampah merata

Antara bekas makanan yang dibiarkan dan tidak dibuang di tong sampah yang disediakan di Pantai Batu Buruk, di sini.
Antara bekas makanan yang dibiarkan dan tidak dibuang di tong sampah yang disediakan di Pantai Batu Buruk, di sini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sikap tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata kembali menular dalam kalangan masyarakat sejak kelonggaran diberikan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan kerajaan, 10 Jun lalu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan rekreasi tepi pantai di Pantai Batu Buruk, di sini kembali menjadi tumpuan dan menerima kunjungan dalam kalangan pelancong tempatan dan luar Terengganu terutama pada hujung minggu.

Malangnya, kebanyakan lokasi tumpuan yang digunakan untuk menghirup udara segar itu kembali dicemari sampah sarap yang dibuang individu tidak bertanggungjawab.

Seorang pengunjung, Wan Mohamad Nizam, 41 berkata, sejak orang ramai boleh keluar rumah, lokasi tumpuan awam agak kotor dengan sampah sarap berupa sisa makanan yang ditinggalkan begitu sahaja.

Katanya, situasi kini amat berbeza dengan keadaan yang berlaku ketika tempoh PKP dimana pencemaran pantai dapat dikawal sepenuhnya.

"Waktu PKP dulu ketika saya lalu di kawasan pantai ini, keadaannya sangat bersih berbeza dengan apa yang berlaku sekarang.

"Kita lihat di kawasan Pantai Batu Buruk ini ada disediakan tong sampah namun ia dilihat tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

"Ada sampah sarap ditinggalkan di atas kerusi dan dilonggok di atas tanah. Sebagai pengunjung di sini, sikap tidak bertanggungjawab ini amat mendukacitakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil berat terhadap perkara itu dan akan mengambil beberapa langkah bagi memastikan tahap kebersihan di lokasi tumpuan awam di negeri ini terpelihara.

"Kita di pihak PBT telah mengambil langkah sewajarnya antaranya menyediakan tong sampah dan papan tanda. Namun ia dilihat masih belum memadai untuk memberikan kesedaran sivik kepada masyarakat.

"Kita sebolehnya tidak mahu mengambil tindakan lebih tegas seperti mengeluarkan kompaun buat masa ini memandangkan kita sedia maklum mengenai ekonomi semasa yang ramai terkesan buat masa ini," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini penguatkuasaan dijalankan lebih kepada bentuk nasihat dan teguran.

"Semua dah tahu tidak boleh buang sampah merata-rata cuma sikap tu susah nak ubah. Saya harap lebih ramai yang akan ambil langkah tegur menegur dalam perkara ini.

"Dalam hal ini juga perlu ada sikap 'jaga tepi kain orang'. Apabila ada nampak orang buang sampah terus tegur, itu dilihat lebih berkesan," katanya.