Jokowi kecewa, berang agensi kerajaan gagal menjalankan tugas

Jokowi menegaskan beliau akan mengambil langkah luar biasa demi 267 juta rakyat Indonesia. - Foto: Istana Presiden Indonesia
Jokowi menegaskan beliau akan mengambil langkah luar biasa demi 267 juta rakyat Indonesia. - Foto: Istana Presiden Indonesia
A
A
A

JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi menegaskan beliau sedia merombak Kabinet atau membubarkan agensi kerajaan yang gagal menjalankan tugas untuk memerangi koronavirus (Covid-19).

Rakaman video kenyataan itu yang dikeluarkan pejabat presiden semalam dibuat Jokowi ketika mesyuarat Kabinet pada 18 Jun lalu.

Pejabat presiden bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa rakaman itu baru dikeluarkan selepas lebih seminggu.

“Saya lihat ramai yang melihat virus itu seperti perkara normal. Ia sememangnya menjengkelkan. Adakah anda tidak ada perasaan? Ini adalah waktu negara berdepan krisis. Saya akan mengambil langkah luar biasa demi untuk negara ini dan 267 juta rakyat kita.

“Saya telah mempertimbangkan pelbagai langkah,” tegasnya yang menyatakan beliau mungkin mengeluarkan lebih banyak peraturan kecemasan jika diperlukan.

Beliau turut menyuarakan kekecewaan terhadap para menterinya kerana lambat melakukan pengeluaran dana seperti bantuan untuk orang miskin, rangsangan perniagaan bagi mengelakkan pemberhentian pekerja, wang bagi membeli peralatan perubatan dan elaun khas untuk barisan hadapan terdiri daripada kakitangan perubatan.

Jokowi dilaporkan berang selepas meneliti laporan yang mendakwa Kementerian Kesihatan hanya membelanjakan kira-kira 1.53 peratus daripada 75 trilion Rupiah (RM22 bilion) yang diperuntukkan untuk dana kecemasan bagi menghadapi ancaman pandemik tersebut.

Susulan itu, Jokowi mengarahkan Kementerian Kesihatan segera mengeluarkan bajet kecemasan tersebut yang dikhaskan untuk Covid-19 yang telah meragut hampir 2,800 nyawa dan merekodkan lebih 54,000 kes jangkitan di negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau menggesa kementerian itu mengelakkan prosedur yang rumit bagi membolehkan proses itu berjalan lancar.

Jokowi juga meminta pemberian elaun kepada waris keluarga doktor dan jururawat yang terkorban ketika bertugas di barisan hadapan.

Kes jangkitan baharu Covid-19 terus meningkat walaupun negara itu telah melonggarkan langkah Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) yang membolehkan beberapa sektor perniagaan kembali beroperasi pada awal bulan lalu. - Agensi