KKM cari penumpang penerbangan KL ke Kemboja

Pengesanan dilakukan selepas dua daripada penumpang penerbangan itu disahkan positif Covid-19
Pengesanan dilakukan selepas dua daripada penumpang penerbangan itu disahkan positif Covid-19
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Pengesanan aktif kes sedang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas dua daripada penumpang penerbangan Kuala Lumpur ke Kemboja disahkan positif koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya telah mendapat notifikasi daripada International Health Regulations (IHR) Kemboja.

"Kita baru sahaja dimaklumkan mengenai perkara ini dan pengesanan sedang dijalankan bagi membolehkan tindakan segera diambil," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, KKM akan mengenal pasti penumpang yang berada dua barisan di hadapan dan belakang kepada kes positif berkenaan.

"Kita sedang bekerjasama dengan syarikat penerbangan bagi mengenal pasti mereka yang terdedah kepada risiko," katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kes berkenaan, beliau turut memaklumkan mengenai satu kes positif Covid-19 yang lama iaitu kes ke-1,051 dan seorang pelajar tahfiz yang telah pulang ke negara mereka.

Menurutnya, individu berkenaan sudah diasingkan dan diberi rawatan sebelum dibenar pulang ke negara asal, namun masih didapati positif ketika ujian saringan Covid-19 dilakukan.

Dr Noor Hisham berkata, keputusan berkenaan berkemungkinan daripada virus lemah yang sudah mati.

Artikel Berkaitan:

"Virus itu sudah mati, namun apabila saringan dilakukan ia masih memberi kesan positif," katanya.

Ditanya mengenai pembukaan taman tema bermula 1 Julai ini, beliau berkata, pengunjung diharap dapat menjaga jarak antara satu sama lain.

"Kebimbangan KKM adalah sekiranya berlaku perhimpunan. Kita kena pastikan jarak," katanya.

Menurutnya, operasi taman tema perlu mengehadkan jumlah pengunjung bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi selain mempertingkatkan kebersihan terutama melibatkan taman tema air.

Terdahulu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan 54 taman tema termasuk taman tema air beroperasi semula pada 1 Julai ini dengan melibatkan 10,000 tenaga kerja.