Kes bunuh Datuk Seri: Polis reman El, kini cari Thamby

Polis sedang mengesan Thamby bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan Datuk Seri.
Polis sedang mengesan Thamby bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan Datuk Seri.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan kes penculikan ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang mayatnya ditemui di Jalan Rawang, Bestari Jaya, Sabtu lalu.

Lelaki berusia 26 tahun itu ditahan pada jam 7.30 malam semalam di Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu selepas polis mendedahkan maklumatnya kira-kira tiga jam sebelum dia ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, suspek yang dikenali sebagai Sheikh Ismail Sheikh Hassan atau El terbabit ditahan berdasarkan maklumat orang ramai selepas gambarnya didedahkan melalui siaran media cetak dan elektronik.

"Lelaki itu direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 5 Julai depan untuk siasatan lanjut.

"Pada masa ini, kita masih lagi melengkapkan siasatan ke atas semua suspek," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan penahanan El, polis kini sedang memburu seorang lagi lelaki dikenali sebagai Vikneswarar Nagentiran atau dikenali dengan gelaran Thamby@Vinod berusia 28 tahun.

"Thamby dikesan tinggal di New Green Park, 48000, Rawang, Selangor," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek sama diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat Asisten Superintendan Farouq Fakhzan Mohd Nordin di talian 0172251403.

Artikel Berkaitan:

Beliau memaklumkan siasatan pada masa ini masih lagi menjurus kepada penculikan untuk mendapatkan wang tebusan namun motif utamanya masih disiasat.

Terdahulu, polis memberkas tujuh lelaki termasuk seorang warga Bangladesh dalam serbuan berasingan sejak Jumaat lalu.

Kesemua suspek termasuk seorang lelaki bergelar Datuk berusia lingkungan 20 hingga 56 tahun telah direman untuk siasatan lanjut.

Dalam kenyataan Fadzil sebelum ini memaklumkan mayat mangsa ditemui kira-kira jam 9 pagi hasil siasatan ke atas salah seorang suspek.

Mangsa yang berusia 55 tahun diculik ketika sedang berjoging di sebuah taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 10 Jun lalu kira-kira jam 10.30 pagi.

Kehilangan pemaju hartanah itu diketahui keluarganya pada waktu tengah hari tarikh yang sama selepas menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali meminta wang tebusan sebanyak S$50 juta (RM154 juta).

Keluarga mangsa kemudian melaporkan kejadian itu pada pihak polis sebaik mengetahui mangsa diculik.

Soal siasat ke atas suspek mendakwa mangsa meninggal dunia selepas tiga atau empat hari diculik sebelum mayatnya dicampak di kawasan belukar di tepi laluan berkenaan.