Dua PPS masih dibuka di Johor

Keadaan banjir di Johor semakin reda dengan hanya tinggal dua PPS dibuka di Muar.
Keadaan banjir di Johor semakin reda dengan hanya tinggal dua PPS dibuka di Muar.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Banjir di Johor semakin reda apabila hanya daerah Muar yang masih mempunyai dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan seramai 116 mangsa daripada 33 keluarga petang ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, dua PPS terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Ali dan SK Seri Menanti.

"PPS Orang Kaya Ali dibuka sejak 20 Jun lalu masih menempatkan 36 mangsa daripada 11 keluarga terdiri daripada penduduk Kampung Sarang Buaya manakala PPS SK Seri Menanti dibuka sejak 23 Jun lalu menempatkan mangsa banjir daripada Kampung Seri Menanti seramai 80 mangsa daripada 22 keluarga," katanya.

Sementara itu, Vidyanathan berkata, perkhidmatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini tidak terjejas akibat kebakaran kecil semalam dan masih diteruskan seperti biasa.

Menurutnya, bangunan yang ditutup hanya Wad Perubatan Perempuan 1, 2 dan 3 untuk siasatan.

"Kerajaan negeri memandang serius isu kebakaran yang terjadi di HSA semalam. Saya bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan memantau kejadian ini dari masa ke masa," katanya.

Dalam kejadian pada jam 3.08 petang itu, Wad Perubatan Perempuan 1 terbakar namun dapat dikawal termasuk 24 pesakit berjaya dipindahkan ke wad lain termasuk dibawa ke Hospital Permai.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku, kebakaran pada mulanya berjaya dipadamkan polis bantuan HSA tetapi selepas itu merebak semula sebelum pihak bomba dipanggil untuk memadamkan keseluruhan kebakaran.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada hari ini bertitah Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) akan membiayai kos membaik pulih wad berkenaan dan akan melantik kontraktor bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dapat dimulakan segera.

Baginda mahu Pengarah Jabatan Kerja Raya, Pengarah Kesihatan Johor serta Pengarah Bomba Johor bersama-sama membincangkan segera pelan pembaikan yang akan dilakukan oleh kontraktor.

Vidyanathan seterusnya berkata, ketika ini pihak berwajib sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kebakaran.

Beliau merakamkan penghargaan yang tinggi kepada Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) HSA yang terdiri daripada polis bantuan kerana memulakan usaha memadam api.

Jelasnya, kejadian tersebut disedari oleh kakitangan serta waris yang berada di sekeliling wad tersebut.

Katanya, kakitangan wad tersebut telah membuat tindakan yang pantas sejurus berlaku kebakaran dengan memindahkan pesakit dan waris di tempat yang lebih selamat.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua doktor, jururawat dan warga kerja HSA serta Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana telah mengawal keadaan dengan jayanya," katanya.