Tiga kes baharu Covid-19 termasuk dua penularan dalam negara

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan tiga kes baharu positif koronavirus (Covid-19) hari ini termasuk dua penularan dalam negara melibatkan rakyat tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes melibatkan rakyat tempatan dikesan di Selangor dan Sabah.

"Di Selangor, satu kes saringan pra prosedur bagi penyakit leukemia dan kes saringan tempat kerja di sebuah pasar di Sandakan, Sabah," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, satu lagi kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan rakyat negara ini dengan ketiga-tiga kes tersebut menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 meningkat kepada 8,637 kes dengan 182 kes yang masih aktif dan dirawat di hospital.

Beliau berkata, empat kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 16 pesakit Covid-19 telah pulih dan dibenar discaj hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 8,334 kes bersamaan dengan 96.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Kata beliau, jumlah kematian kekal pada 121 kes selepas tiada kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau memberi amaran kepada individu yang pulang dari luar negara bakal berdepan hukuman denda dan dipenjara sekiranya gagal mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Katanya, HSO telah dikuatkuasakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sejak 10 Jun lalu selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan kegagalan mematuhi peraturan serta syarat-syarat yang terkandung di dalamnya merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 22, Akta 342.

"Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, individu yang terbabit boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24, Akta 342," katanya.

Tambahnya, seramai 5,909 orang diletakkan di bawah HSO bagi melengkapkan kuarantin selama 14 hari.

"Namun demikian, daripada jumlah ini hanya 4,437 orang yang direkod menjalani ujian Covid-19 di klinik kesihatan atau klinik swasta pada hari ke-13," katanya.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, tiga kes telah dikesan positif Covid-19, manakala seramai 1,472 orang masih perlu menjalani ujian Covid-19 pada hari ke-13.

Semua individu yang pulang dari luar negara termasuk rakyat Malaysia, pemastautin tetap dan mereka yang dibenarkan masuk atas urusan kerja diwajibkan menjalani kuarantin di tempat kediaman masing-masing selama 14 hari seperti yang dinyatakan dalam Garis Panduan Perintah Pengawasan & Pemerhatian Di Rumah Kediaman (Annex 14b).