Lima mat rempit beraksi ala 'superman' dijel tiga bulan, denda RM6,000

Kesemua mat rempit dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman hari ini.
Kesemua mat rempit dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman hari ini.
A
A
A

KEMAMAN - Lima mat rempit masing-masing dihukum tiga bulan penjara dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Kemaman hari ini kerana berlumba secara haram dengan mempamerkan aksi 'superman'.

Muhammad Aliff Najmi Radzuan, 23; Muhammad Azam Jusoh, 25; Mohammad Riezuwan Ishak, 25; Muhamad Syahril Yahaya, 21; dan Muhammad Syafiq Yahya, 31, turut berdepan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Majistret, Nurunaim Abdullah turut memerintahkan lesen memandu kelima-lima tertuduh itu digantung selama dua tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan.

Keputusan dibuat selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa menunggang motosikal dengan cara bersaing sesama sendiri dan membuat aksi ala 'superman' dengan meluruskan kaki selari dengan meter motosikal yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain, di Kilometer 321 hingga Kilometer 281 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan pada jam 12 tengah hari, Jumaat lalu.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, tiga lagi tertuduh, Mohamad Yassir Yahaya, 32; Mazmi Harun, 32; dan Muhammad Syaiful Bahari Ibrahim, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Sejurus pengakuan tidak salah mereka direkodkan, mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 13 Julai ini.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Kesemua tertuduh ditahan dalam satu operasi 'Ops Samseng Jalan Raya' yang dijalankan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada jam 7.40 petang di Hentian Sebelah Kijal LPT2.