Tutup pasar jika gagal patuhi SOP

Seramai 25 Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah menyempurnakan majlis angkat sumpah hari ini.
Seramai 25 Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah menyempurnakan majlis angkat sumpah hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Operasi pasar membabitkan pasar pagi dan malam yang dilaksanakan tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) akan diarahkan tutup bermula 1 Julai nanti.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Syed Khairol Anuar Syed Abidin berkata, pertubuhan atau persatuan yang menguruskan operasi pasar pagi atau malam diberi tanggungjawab untuk memastikan SOP tersebut dipatuhi sebaik mungkin dan setakat ini, beberapa NGO telah diberikan manual SOP sebagai panduan.

Menurutnya, operasi perniagaan juga telah dimulakan antaranya membabitkan jualan pasar pagi di Taman Bersatu dan Taman Ria Jaya.

"Kita mengalu-alukan badan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan pasar pagi, pasar malam termasuk 'uptown' agar berjumpa dan mendapatkan manual SOP bagi membolehkan peniaga yang terjejas akibat wabak koronavirus (Covid-19) berniaga semula, namun dengan mengamalkan SOP yang betul.

"Kita mempunyai SOP yang telah diguna pakai seperti pasar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan kita bersedia bantu dan turun padang agar peniaga patuhi SOP bagi memberi kebenaran berniaga sekali gus merancakkan semula ekonomi di daerah ini," katanya ketika hadir ke Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani bagi penggal 2020-2021 di Kompleks MPSPK hari ini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Kedah, Dr Robert Ling Kui Ee yang turut merasmikan majlis berkenaan.

Sementara itu, katanya, MPSPK berjaya membuat kutipan hasil konvensional berjumlah RM39 juta merangkumi lesen perniagaan, gerai dan pasar berbanding RM42 juta yang disasarkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Beliau menjelaskan, kutipan hasil tersebut terjejas sebanyak RM3.199 juta kesan daripada koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, kutipan hasil termasuk kompaun letak kereta akan diteruskan pada 1 Julai nanti.

Terdahulu, dalam majlis berkenaan, seramai 25 ahli majlis telah menyempurnakan angkat sumpah membabitkan tujuh pegawai dari pelbagai jabatan, enam wakil Pas dan masing-masing empat wakil dari UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Penggerak Komuniti Negara.