Pas gesa KDN gantung penjualan buku hina negara

Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak segera menggantung penjualan buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ oleh Kean Wong yang jelas menghina negara.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, secara khusus Jata Negara telah diubah dengan cara yang memperolok dan memperlekeh hingga menampakkannya secara jahat, keji dan hina serta direndahkan martabatnya.

Tegas beliau, perbuatan demikian terhadap lambang rasmi negara adalah satu kesalahan yang sangat serius.

"Bahkan penerbitan buku ini dilihat berunsur provokatif, mempertikai, menyanggah dan cubaan menghasut serta menimbulkan ketidaktenteraman awam.

"Ia juga dilihat mengandungi unsur-unsur melampau yang mesti dicegah pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kamaruzaman berkata, pemeliharaan Jata Negara dari sebarang salah guna termaktub dalam Akta 414 Seksyen 3(1)(a) yang memperuntukkan larangan mengguna apa-apa nama atau lambang atau apa-apa tiruan serupa mengenainya bagi maksud perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion.

ARTIKEL BERKAITAN: KDN arah polis siasat kes ubah jata negara

"Seharusnya, seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menghormati dan memelihara penghormatan dan kedaulatan negara, apatah lagi tarikh sambutan kemerdekaan yang semakin hampir, di samping tahun 2020 ini adalah Jubli Emas Rukun Negara pada 31 Ogos nanti," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Pas mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat individu-individu utama dalam penghasilan buku ini dan mengambil tindakan selaras undang-undang kerana jelas motif lukisan pada muka depan buku menghina lambang kedaulatan negara.