3,070 ayam daging tidak sempat sampai Thailand

Lori yang membawa muatan ayam dipercayai cuba diseludup masuk ke Thailand dengan menggunakan bot melalui Sungai Golok ditahan dalam sekatan di Rantau Panjang hari ini.
Lori yang membawa muatan ayam dipercayai cuba diseludup masuk ke Thailand dengan menggunakan bot melalui Sungai Golok ditahan dalam sekatan di Rantau Panjang hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Sejumlah 3,070 ayam daging bernilai RM46,050 yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand tidak sempat tiba ke negara itu apabila dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 di sekatan jalan raya di Banggol Kong, Rantau Panjang, hari ini.

Rampasan pada jam 3.30 pagi itu turut membabitkan penahanan empat lelaki berusia 33 hingga 43 tahun iaitu masing-masing pemandu dan kelindan dari dua lori yang membawa muatan tersebut.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam Op Benteng Covid-19 tersebut pihaknya melihat dua lori jenis Isuzu berwarna putih dengan nombor pendaftaran hampir sama.

“Kedua-dua lori tersebut dilihat dalam keadaan mencurigakan dan polis meminta kedua-dua pemandu mengemukakan dokumen berkaitan yang sah tetapi gagal.

“Pemeriksaan dalam lori mendapati 147 bakul plastik mengandungi 1,470 ayam daging manakala dalam lori satu lagi pula terdapat 160 bakul plastik mengandungi 1,600 ayam daging yang keseluruhannya berjumlah 3,070 dianggarkan bernilai RM46,050,” katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap dokumen surat kebenaran memindahkan ternakan/bahan haiwan dalam Semenanjung Malaysia mendapati tarikh perjalanan tamat tempoh selain nombor pendaftaran lori yang dinyatakan dalam permit perjalanan yang dikeluarkan oleh Jabatan Veterinar adalah berbeza.

“Surat kebenaran memindahkan ternakan/bahan haiwan dalam Semenanjung Malaysia mengikut Seksyen 36 (1) (b) dan (c) ordinan haiwan bertarikh perjalanan 24 Jun sehingga 26 Jun 2020 serta sijil kesihatan Veterinar pula bertarikh 17 Jun 2020.

“Sehubungan itu, keempat-empat lelaki yang berasal dari Tumpat tersebut dan haiwan yang dirampas dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah, Pasir Mas untuk tindakan serta siasatan lanjut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kedua-dua lori tersebut bernilai RM120,000 menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM166,050.

“Hasil soal siasat ringkas terhadap suspek memberitahu mengambil ayam dari Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan dihantar ke tempat pengumpulan di Kampung Sri Tujoh Tumpat, Kelantan tanpa dokumen perjalanan yang sah.

“Seterusnya akan dipasarkan di pasaran tempatan dan dipercayai dihantar ke Thailand menggunakan bot merentasi Sungai Golok,” katanya.