Lelaki Nigeria jatuh cinta dengan pisang goreng

Emmanuel bersama Syazril (kiri) juga penjual pisang goreng.
Emmanuel bersama Syazril (kiri) juga penjual pisang goreng.
A
A
A

DAMANSARA - Keenakan pisang goreng yang rangup di luar dan lembut di dalam membuatkan seorang lelaki warganegara Nigeria 'jatuh cinta' makanan kegemaran rakyat Malaysia ini.

Emmanuel Olalere, 28, ialah pelajar di sebuah universiti tempatan di Kuala Lumpur mengakui hampir setiap hari membeli makanan jalanan itu di sebuah gerai di Mutiara Damansara.

Katanya, sebelum ini, kerap membeli di tempat lain namun selepas sebuah gerai menjual pisang goreng dibuka berhampiran kediamannya, memudahkan dia membeli makanan kegemarannya itu.

Menurut Emmanuel, dia menyimpan nombor telefon pemilik gerai dikenali sebagai Syazril Sahirun itu bagi memudahkan dia untuk membeli pisang goreng itu.

"Di Nigeria tiada pisang goreng, hanya kerepek pisang dan bila merasai keenakan pisang goreng di sini, ia sangat sedap!

"Saya gemar pisang goreng kerana mempunyai keseimbangan yang sempurna dari segi kerangupan dan isinya lembut. Bila makan rasanya luar biasa," katanya yang sudah berada di Malaysia selama tujuh tahun.

Lelaki yang mengambil pengajian Sarjana bidang keusahawanan itu bukan sahaja menggemari pisang goreng tetapi meminati cekodok pisang, nasi ayam mentega, roti canai, nasi lemak dan mi rojak.

"Saya suka masakan di sini. Mula rasa pisang goreng sejak tiga tahun lalu dan pernah makan pisang goreng keju dan campuran lain.

Artikel Berkaitan:

"Tapi sejujurnya, saya lebih suka pisang goreng original tanpa perisa tambahan," katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya mengenai keindahan dan keunikan Malaysia, Emmanuel memberitahu, dia menyukai negara ini kerana memiliki pelbagai bangsa dan agama.

"Penyatuan dari pelbagai bangsa, agama menonjolkan Malaysia sebuah negara yang indah dan harmoni," katanya.