75,344 PPE dihasilkan sukarelawan Kemas seluruh negara

Abd Latif (lima dari kiri) bersama penyelaras Kemas pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Sukarelawan Jahitan PPE di Dewan Masyarakat Felda Tenggaroh 5, Mersing semalam.
Abd Latif (lima dari kiri) bersama penyelaras Kemas pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Sukarelawan Jahitan PPE di Dewan Masyarakat Felda Tenggaroh 5, Mersing semalam.
A
A
A

MERSING - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menyumbangkan 75,334 unit sut peralatan pelindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan kesihatan berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, sebanyak 75,344 PPE dihasilkan menerusi program secara sukarela yang dilakukan sejak Mac lalu sehingga 24 Jun.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Mersing berkata, penghasilan PPE melibatkan seramai 1,002 sukarelawan terdiri dalam kalangan pemaju masyarakat dan peserta-peserta kelas di seluruh Malaysia.

“Sukarelawan yang menghasilkan PPE merupakan hero yang tidak didendang. Mereka lakukan secara sukarela tanpa upah demi melawan Covid-19. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka,” katanya pada sidang media Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Sukarelawan Jahitan PPE di Dewan Masyarakat Felda Tenggaroh 5, Mersing di sini semalam.

Hadir sama, Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail dan Pengarah Kemas, Khairuddin Md Nasir.

PPE yang dihasilkan itu telah dibekalkan kepada 56 hospital seluruh negara yang turut melibatkan 17,540 PPE dihasilkan Kemas Johor.

Sementara itu, Abd Latiff berkata, seramai kira-kira 220,000 kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun di 10,910 taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Kemas akan memulakan sesi pembelajaran pada 1 Julai depan.

Katanya, taman asuhan kanak-kanak (Taska) Kemas juga akan dibuka pada tarikh yang sama melibatkan seramai kira-kira 9,500 kanak-kanak berusia 2 hingga 4 tahun di 520 Taska Kemas.

Artikel Berkaitan:

“Operasi Tabika dan Taska Kemas ini mengikut normal baharu di mana ada langkah seperti penjarakan sosial. Guru dan pembantu telah diajar dan mereka akan pastikan kanak-kanak ini mematuhi normal baharu,” katanya.