'Rekod belanja RM1.013 juta ketika PRK Sungai Besar dilupuskan'

Tengku Adnan hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghadiri prosiding kes rasuah terhadapnya membabitkan jumlah RM2 juta.
Tengku Adnan hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghadiri prosiding kes rasuah terhadapnya membabitkan jumlah RM2 juta.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, tarikh dan rekod perbelanjaan dilupuskan selepas sebulan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor berlangsung.

Ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim bagi kes rasuah sebanyak RM2 juta membabitkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, saksi, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, dia hanya menyimpan semua resit perbelanjaan selama tempoh itu sebagai rujukan, sekiranya timbul sebarang isu berbangkit.

Saksi pembelaan ketiga itu berkata, rekod perbelanjaan yang diserahkan kepada mahkamah hari ini adalah berdasarkan ingatannya.

Julia: Siapa yang sediakan laporan perbelanjaan itu

Rizalman: Saya yang sediakan. Jumlah yang diterima adalah sebanyak RM1.013 juta. Laporan belanja keseluruhan yang saya sediakan ini berdasarkan ingatan saya atau lebih kurang.

Julia: Lepas PRK, ada buat laporan sebenar (rasmi)?

Rizalman: Tidak, sebab jika menang biasanya tiada laporan.

Julia: Jika kalah?

Artikel Berkaitan:

Rizalman: Saya simpan, selama sebulan, selepas tempoh itu ia akan dilupuskan. Kita tak simpan.

Julia: Kenapa tidak simpan

Rizalman: Tidak simpan memandangkan tiada isu yang ditimbulkan.

Semasa menjawab soalan peguam, Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan, Rizalman yang juga Ketua UMNO Bandar Tun Razak berkata, wang yang diberi oleh Tengku Adnan selaku Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan itu habis diguna sepenuhnya sepanjang PRK berlangsung.

Terdahulu, menerusi pernyataan rasmi yang disediakan, Rizalman mengakui pihaknya merangka bajet sebanyak RM1.3 juta namun Tengku Adnan mengurangkan kadar itu kepada RM1.013 juta.

“Saya menerima wang itu daripada Setiausaha Politik Tengku Adnan iaitu Datuk Mohd Rafi Alli Hassan di Ibu Pejabat UMNO, PWTC.

“Berdasarkan pengetahuan saya, diketahui secara umum bahawa UMNO Wilayah Persekutuan tidak memperoleh dana daripada Ibu Pejabat UMNO tetapi daripada (dana) Datuk Seri,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan ditangguh esok.

Rizalman (kiri) dan Mohd Rafi (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selaku saksi pembelaan, hari ini.
Rizalman (kiri) dan Mohd Rafi (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selaku saksi pembelaan, hari ini.

Pada 23 Januari tahun lalu, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan yang didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan lain atas dakwaan menerima suapan iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaan Tengku Adnan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur diluluskan oleh DBKL.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan turut menghadapi pertuduhan pilihan iaitu didakwa menerima wang berjumlah RM1 juta yang merupakan barangan berharga daripada Eng Boon tanpa sebarang balasan melalui cek ke dalam akaun tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.