Anggota polis antara tiga ditahan seludup dadah ke Indonesia

Ayob Khan menunjukkan dadah dan barang-barang yang dirampas dalam beberapa serbuan berasingan sekitar Muar dan Sri Alam pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru di sini hari ini.
Ayob Khan menunjukkan dadah dan barang-barang yang dirampas dalam beberapa serbuan berasingan sekitar Muar dan Sri Alam pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ditahan bersama tiga lelaki kerana terlibat aktiviti penyeludupan dadah ke Indonesia melalui jalan laut.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota polis berpangkat Lans Koperal itu ditangkap pada 25 Jun lalu dan tiga lagi suspek ditahan dalam operasi berasingan di daerah tersebut pada 6 Jun lalu.

"Mereka diberkas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Muar bersama-sama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua. Kesemua suspek berusia antara 23 hingga 37 tahun. Siasatan mendapati polis berkenaan bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dadah.

"Menerusi serbuan itu kita rampas dadah seberat 2.10 kilogram (kg) bernilai RM84,000 dan menyita sebuah kenderaan bernilai RM10,000. Jumlah rampasan dan sitaan bernilai RM94,000," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Sebelum ini, 22 pegawai dan anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen dan PPM ditahan dari 13 hingga 18 Jun lalu disusuli serbuan pada 23 Jun lalu kerana bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran di sempadan negeri ini.

Ayob Khan berkata, dua daripada suspek berkenaan positif dadah jenis syabu dan hasil semakan dadah mendapati dua daripada mereka mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Menurutnya, kegiatan keempat-empat suspek terbongkar apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan serbuan di Pantai Muara, Parit Samsu, Muar pada 1 Jun lalu, dua suspek berjaya melarikan diri, namun berjaya merampas syabu seberat 25kg dan ekstasi 14kg.

Satu operasi susulan khas katanya, dilancarkan pada 6 Jun lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Muar bersama-sama PPM Wilayah Dua untuk mengesan dua suspek itu dan berjaya memberkasnya kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, seorang lagi suspek warga tempatan berjaya diberkas susulan tangkapan dua suspek berkenaan dan kejayaan tersebut membawa kepada penangkapan anggota polis itu yang semuanya bergiat aktif sejak 2017.

Katanya, siasatan mendapati terdapat 6kg dadah lagi masih belum dirampas daripada anggota sindiket yang dipercayai masih bebas.

"Kalau ikut maklumat sebanyak 33kg dadah mahu diseludup ke Indonesia, tetapi pihak APMM berjaya rampas 25kg sebelum ini dan pihak polis pula berjaya merampas 2kg menerusi serbuan ini, ada 6kg lagi masih dikesan. Setiap 20kg dadah di pasaran berharga RM30,000," katanya.

Tegas Ayob Khan, pihaknya masih mengesan saki baki anggota penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dadah dan tidak akan bertolak ansur dengan mereka walaupun melibatkan anggota polis sendiri.