Remaja maut rempuh belakang kereta

Bahagian hadapan motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk akibat kemalangan pagi tadi. - Foto FB Info Bencana Terengganu
Bahagian hadapan motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk akibat kemalangan pagi tadi. - Foto FB Info Bencana Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang kereta dalam kejadian berhadapan Kem Askar Rejimen 512, Padang Midin di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi itu, mangsa, Muhammad Ajwad Mohd Nasri, 18, dari Kampung Seberang Baruh di sini, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala sementara wanita berusia 53 tahun yang juga pemandu kereta jenis Proton Iswara tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Kampung Telaga Mengkudu, Marang menghala ke sebuah stesen minyak di Pengadang Baru di sini, namun sebaik tiba di lokasi, motosikal jenis EX5 ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah kereta di hadapannya.

"Insiden itu disaksikan rakan mangsa berusia 17 tahun yang ketika itu menunggang sebuah lagi motosikal di belakangnya, manakala pemandu kereta hanya menyedari kejadian selepas terdengar bunyi dentuman kuat dari belakang kenderaannya sebelum berhenti di bahu jalan.

"Difahamkan pemandu kereta tersebut yang dalam perjalanan dari Bukit Payong, Marang menghala ke tempat kerja di Kampung Durian Burung ternampak mangsa yang ketika itu sudah terbaring di atas jalan raya tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: