Kekang PATI: Kawalan sempadan negeri diperketat

 Razarudin Husain
Razarudin Husain
A
A
A

IPOH - Polis Perak memperketatkan kawalan sempadan yang dikenal pasti menjadi laluan sindiket penyeludupan migran terutama di utara dan selatan negeri itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, polis mengadakan sekatan jalan raya di seluruh laluan sempadan negeri dalam usaha mengekang jenayah terbabit menerusi Op Benteng yang dilaksanakan.

“Kita membantu dalam membuat sekatan jalan raya di kawasan sempadan selepas perairan seperti di Teluk intan iaitu sempadan antara Sabak Bernam.

“Sekiranya mereka telah menembusi laut, mereka akan melalui sekatan jalan raya polis termasuk juga di Kerian dan Taiping, tempat-tempat yang bersempadan dengan laut,” katanya ketika ditemui pada Pemantauan Program Pegawai Perhubungan Sekolah Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet di sini hari ini.

Menurutnya, sekatan jalan raya turut diadakan di kawasan Gerik dan Pengkalan Hulu.

“Ada (suspek) yang ditahan di sekatan jalan raya tapi dalam dua atau tiga orang dalam kenderaan. Dalam tempoh dua hari ini, tiada tangkapan dilakukan.

“Suspek yang ditahan sebelum ini masih dalam siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya.

Pada 22 Jun lalu, Polis Perak dalam satu kenyataan berjaya menahan tiga anggota polis bersama 11 ahli sindiket penyeludupan migran menerusi Op Benteng yang dilaksanakan sejak 4 April lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga polis, 11 ahli sindiket penyeludupan migran diberkas

Artikel Berkaitan:

Pada perkembangan lain, Razarudin berkata, pasukan pemantau melibatkan 559 pegawai dan anggota polis digerakkan bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP di semua daerah.

“Pemantauan antaranya melibatkan rumah ibadat, premis perniagaan dan kedai makan.

"Sejumlah 12 premis di Manjung dan Kerian diarahkan tutup selepas didapati melanggar SOP dengan tidak menyediakan buku catatan dan cecair pembasmi kuman, semalam," katanya.

Bagi pematuhan SOP di sekolah-sekolah, beliau berkata, pematuhan berada pada tahap sangat baik dengan mengikut garis panduan yang disediakan Kementerian Pendidikan bermula dari pintu pagar hingga ke kelas.