Kantoi curi dua tan sawit

Lori yang digunakan untuk mengangkut buah sawit curi turut dirampas polis. - Foto Ihsan IPD Hulu Terengganu
Lori yang digunakan untuk mengangkut buah sawit curi turut dirampas polis. - Foto Ihsan IPD Hulu Terengganu
A
A
A

HULU TERENGGANU - Dua lelaki kantoi mencuri buah kelapa sawit selepas tindakan mereka menyorok di belakang pokok sawit gagal apabila kedua-duanya berjaya dikesan pengawal ladang yang sedang melakukan rondaan di sebuah ladang di Jerangau, Ajil, Kuala Berang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, kedua-dua suspek berusia 26 dan 29 tahun itu menyedari kehadiran pengawal ladang terbabit bertindak menyorok di belakang pokok sawit bagi mengelak kegiatan mereka di kawasan itu terbongkar.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pengawal ladang yang menyedari kehadiran kedua-duanya bagaimanapun berjaya menahan mereka dan segera menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

"Kita turut merampas sebuah lori jenis Isuzu bersama dua tan buah sawit yang dianggarkan bernilai RM1,200.

"Siasatan mendapati hanya suspek berusia 29 tahun mempunyai rekod lampau jenayah berkaitan curi kenderaan dan dadah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kedua-dua suspek kini direman mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel Berkaitan: