Mohd Sharim tak ambil kisah isu bukan anak Pahang

Mohd Sharim beramah mesra bersama veteran ATM, Ahmad Abu, 61, pada majlis jejak veteran dan lawatan kebajikan Menteri Kanan Pertahanan bersama veteran ATM Felda Chini di Pusat Bandar Dara Felda Chini semalam. - Foto Bernama
Mohd Sharim beramah mesra bersama veteran ATM, Ahmad Abu, 61, pada majlis jejak veteran dan lawatan kebajikan Menteri Kanan Pertahanan bersama veteran ATM Felda Chini di Pusat Bandar Dara Felda Chini semalam. - Foto Bernama
A
A
A

PEKAN - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain tidak mahu terlalu memikirkan dakwaan pihak tertentu bahawa beliau bukan anak jati Pahang, yang dilihat cuba menidakkan kelayakan beliau untuk bertanding sebagai calon di DUN itu.

Mengakui dilahirkan di Alor Setar, Kedah, Mohd Sharim berkata, apa yang penting ialah beliau telah bermastautin di Felda Chini 3 dekat sini, sejak hampir 40 tahun dan memahami apa yang diperlukan masyarakat di sini.

"Saya tidak mahu memikirkan pandangan orang kerana saya tahu saya sudah bermastautin di Felda Chini 3 bersama keluarga saya sejak kecil lagi. Saya memang dilahirkan di Alor Setar, Kedah kerana keluarga saya berasal dari sana namun kita semua mengetahui masyarakat peneroka Felda sememangnya datang dari pelbagai negeri," katanya kepada Bernama.

Mohd Sharim berkata, beliau telah menetap di Felda Chini 3 sejak berusia 2 tahun selepas keluarganya menjadi peneroka pada 1981 dan sejak itu membesar serta bersekolah di Chini serta bergaul dengan masyarakat di situ.

Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mempertahankan keputusan meletakkan Mohd Sharim sebagai calon BN kerana isu anak kelahiran negeri tidak timbul kerana keluarga peneroka Felda memang datang ke sesebuah tanah rancangan dari seluruh negara.

Mohd Sharim Md Zain - Foto Bernama
Mohd Sharim Md Zain - Foto Bernama

Bagi Wan Rosdy, pemimpin yang diperlukan adalah mereka yang telah sekian lama memahami masalah dan kehendak penduduk setempat.

Sementara itu, Mohd Sharim berkata, sepanjang berkempen bertemu pengundi sejak 20 Jun lepas, beliau mendapat respon yang sangat positif memandangkan beliau calon penduduk tempatan dengan 82 peratus penduduk di DUN itu berada di kawasan Felda.

Artikel Berkaitan:

Kempen beliau turut dibantu jentera Pas atas gagasan Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas, malah pencalonan beliau pada hari penamaan calon disokong Timbalan Yang Dipertua Pas Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, yang juga calon Pas yang tewas bertanding di kerusi itu kepada calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Untuk raih kemenangan BN di Chini, pertamanya kena ada kekuatan Muafakat Nasional dengan Pas yang telah terjemah ketika PRK ini. Ustaz Fadhil, calon (Pas) yang bertanding lawan arwah Datuk Seri Abu Bakar Harun dulu kini dah jadi penyokong untuk calon BN,” katanya.

Walaupun hanya ditentang dua calon Bebas berikutan Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calon sehingga ramai beranggapan BN akan menang besar di DUN Chini nanti, Mohd Sharim tidak mahu terlalu selesa dengan keadaan itu.

“Dari segi lawan kita pula, kita tak letak ini (hanya calon Bebas sebagai lawan) sebagai suatu keselesaan. Walaupun kita rasakan Bebas ini tiada jentera besar, tapi kita mesti berhati-hati dan pastikan jentera kita dapat berjumpa pengundi DUN Chini. Kita harapkan jentera BN akan pastikan pengundi akan dapat pergi mengundi pada 4 Julai (Sabtu ini),” katanya.

Katanya, kempen yang dijalankan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini menyebabkan jentera perlu bekerja keras.

“Peringkat awal (kempen) sukar (berikutan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan) tapi bila dah lalui empat, lima hari kempen, jentera dah mula boleh patuhi SOP untuk (pencegahan) Covid-19. Selain turun padang bertemu pengundi, kita juga guna media sosial sebagai antara cara untuk berkempen,” katanya.

Bagi golongan berusia yang mungkin kurang dalam menggunakan media sosial, Sharim berkata, mereka menggunakan jentera yang mengedarkan bahan kempen dari rumah ke rumah.

”BN juga gunakan trak LED. Kita sampaikan informasi video melalui trak bergerak ke kawasan hotspot. Trak akan bergerak setiap masa di perkampungan Felda dan kampung tradisional dan kawasan yang difikirkan perlu,” katanya.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim dan dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin,64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49. PRK DUN Chini yang juga satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Abu Bakar, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 7 Mei lepas akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, menewaskan Mohd Fadhil (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065). Terdapat 20,990 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal, dengan pengundi berusia bawah 40 tahun adalah majoriti, yang mewakili 56 peratus. - Bernama