Evolusi sistem pengairan dan saliran

Sungai dua lapis di Tanah Merah Pendang (Tanah Merah Aquaduct).
Sungai dua lapis di Tanah Merah Pendang (Tanah Merah Aquaduct).
A
A
A

ALOR SETAR - Aktiviti penanaman padi telah bertapak di negeri Kedah selama 500 tahun dahulu di kawasan tanah dataran di barat Kedah dan Perlis seperti yang terdapat pada rekod bertulis.

Pada permulaan abad ke-19, ia semakin giat dijalankan susulan kemerosotan perdagangan yang memaksa pemerintah ketika itu beralih kepada kegiatan ekonomi baharu iaitu mempergiatkan tanaman padi.

Pembangunan tanaman padi tertumpu di kawasan utara Semenanjung Tanah Melayu iaitu di Dataran Negeri Kedah dan Perlis kerana kawasannya yang rendah serta mudah dibanjiri air.

Pemilihan kawasan berkenaan telah menyebabkan sistem perparitan dibina bagi mengalirkan lebihan air.

Pam bergerak digunakan untuk membantu pengairan pada peringkat ladang.
Pam bergerak digunakan untuk membantu pengairan pada peringkat ladang.

Pemulihan dan pembangunan kawasan tersebut telah menarik ramai pendatang terutama dari Pattani, Selatan Siam dan juga Jawa, Indonesia.

Bagaimanapun, perkembangan pertanian padi ketika itu tidak begitu pesat sehinggalah terbinanya Terusan Wan Mat Saman pada tahun 1885.

Terusan sepanjang 35 kilometer itu adalah bukti bermulanya pembangunan sistem pengairan dan saliran di Kedah sehingga ia terkenal sebagai negeri jelapang padi Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Terusan berkenaan adalah cetusan Menteri Besar Kedah ketika itu, Wan Muhammad Saman.

Tujuan utama pelaksanaannya adalah untuk mengairi sawah ketika kekurangan air dan mengalirkan air keluar ketika air berlebihan.

Pembinaan terusan tersebut telah mengakibatkan kawasan paya antara Sungai Kedah dan Sungai Yan dapat dikeringkan untuk penanaman padi.

Kebanyakan penduduk turut mengambil peluang membuka perkampungan baharu di sepanjang terusan itu yang masih boleh dilihat sehingga kini.

Selain terusan tersebut, banyak lagi terusan kecil dibina bagi mengekalkan air terus ke kawasankawasan pedalaman dan antara terusan yang masih kekal serta digunakan sehingga kini ialah Sungai Simpang Empat, Sungai Kota Sarang Semut, Sungai Limau dan Sungai Guar Chempedak.

Terusan Alor Changileh.
Terusan Alor Changileh.

Penglibatan orang Melayu dalam penanaman padi ketika itu agak meluas namun tidak begitu teratur dan hanya dijalankan pada peringkat sara diri.

Ia disebabkan oleh pengawalan sumber air yang tidak begitu memuaskan. Walaupun Terusan Wan Mat Saman telah dibina, namun sumber air untuk mengairi tanaman tetap bergantung kepada hujan.

Masalah yang timbul itu kemudiannya telah membawa kepada wujudnya Rancangan Pengairan Muda dalam Rancangan Pembangunan Malaysia Pertama (1965-1970) yang telah membawa perubahan kepada pesawah apabila mereka diperkenalkan dengan kaedah menanam padi dua kali setahun.

Rancangan Pengairan Muda bantu tingkatkan pengeluaran padi

Rancangan Pengairan Muda dilaksanakan pada April 1966 di bawah Rancangan Malaysia Pertama dan merupakan projek pembangunan yang terbesar di Asia pada tahun 1960-an.

Projek yang merangkumi keluasan 96,558 hektar itu melibatkan kos berjumlah RM245 juta dengan 47 peratus (RM114.6 juta) daripada kos itu dibiayai oleh Bank Dunia, manakala bakinya dibiayai kerajaan Malaysia.

Projek Muda I telah bermula pada 1 April 1966 melibatkan komponen utama pembinaan, dua empangan iaitu Empangan Pedu dan Empangan Muda.

Empangan Muda dalam pembinaan pada tahun 1968.
Empangan Muda dalam pembinaan pada tahun 1968.

Projek tersebut turut melengkapkan pembangunan rangkaian infrastruktur peringkat primer dan sekunder bagi meningkatkan pengurusan air peringkat ladang dengan kepadatan 10 meter per hektar.

Selepas empat tahun, Projek Muda I siap sepenuhnya pada 1970 dan peringkat pertama pengairan telah dimulakan di kawasan seluas kirakira 33,600 hektar iaitu 35 peratus daripada 96,558 hektar kawasan Muda bagi tanaman padi luar musim.

Baki seluas 62,958 hektar kawasan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh tersebut sehingga 1974.

Akhirnya bermula pada tahun 1975, keseluruhan Kawasan Muda boleh ditanam tanaman padi dua kali setahun hasil daripada pembinaan Projek Muda I.

Empangan Pedu juga adalah komponen utama Rancangan Pengairan Muda.
Empangan Pedu juga adalah komponen utama Rancangan Pengairan Muda.

Namun dalam tempoh pelaksanaan Projek Muda I, pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang ditubuhkan pada 1970 di bawah Dikri Darurat sentiasa menerima aduan daripada pesawah berkaitan masalah pengagihan bekalan air, antaranya pengagihan yang tidak cekap dan mengambil masa panjang untuk mengalir dari satu petak ke petak sawah yang lain pada purata jarak 1.6 kilometer bagi setiap blok pengairan.

MADA yang komited menjaga kebajikan pesawah berusaha menangani masalah tersebut dan menyemak semula reka bentuk serta sistem pengurusan air yang lebih cekap dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi.

Akhirnya, keputusan terbaik yang dicapai adalah kerajaan melaksanakan pembangunan infrastruktur pada peringkat tersier.

Dengan itu, Projek Muda II mula dilaksanakan pada 1979 dengan pembinaan kemudahan infrastruktur tersier melibatkan tali air, parit dan jalan ladang dengan kos RM225 juta.

Projek itu sehingga 1987 telah dapat meningkatkan 38 blok pengairan seluas 18,368 hektar (19 peratus) daripada kawasan Muda dilengkapi dengan kepadatan infrastruktur pada tahap 30 meter per hektar.

Stesen Pam Guna Semula Air Saliran. Guna semula air saliran menyumbang kepada lapan peratus sumber air MADA.
Stesen Pam Guna Semula Air Saliran. Guna semula air saliran menyumbang kepada lapan peratus sumber air MADA.

Sebenarnya, kerajaan sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan sistem tersier di kawasan Muda dalam usaha menyediakan rangkaian kemudahan yang komprehensif untuk meningkatkan pengeluaran padi negara.

Ia dapat dibuktikan apabila di bawah Rancangan Malaysia Keenam hingga Kesembilan (1986-2010), kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM94.3 juta untuk membangunkan rangkaian infrastruktur tersier.

Menerusi usaha tersebut,sehingga kini seluas 34,989 hektar iaitu 36 peratus daripada 96,558 hektar kawasan Muda dibangunkan dengan blok pengairan tersier.

Ia melibatkan sejumlah 44 blok pengairan daripada jumlah 172 blok pengairan di keseluruhan kawasan Muda.

Baki 128 blok pengairan lagi sedang dan akan ditingkatkan kepadatan infrastruktur ke peringkat tersier dalam Rancangan Malaysia semasa dan seterusnya.

Ampang Jajar, Alor Setar.
Ampang Jajar, Alor Setar.

Kesimpulannya, sejarah penanaman padi dan detik kelahiran MADA jelas menunjukkan perkembangan padi di kawasan Muda khususnya dan amnya di negeri Kedah dan Perlis bermula dengan pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran.

Terdapat dua tahap yang telah mengubah landskap penanaman padi dan taraf hidup pesawah ketika itu.

Pertama, selepas pembinaan Terusan Wan Mat Saman dan kedua selepas pembinaan Rancangan Pengairan Muda.

Transformasi pembangunan yang berlaku bukan sahaja mengubah pelan pembangunan negara, malah turut memberi kesan kepada sosio ekonomi negara.

Dari segi pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran tersebut telah membawa kepada sistem pengawalan dan pengurusan air yang lebih efisien dan sistematik sehinggakan tanaman padi dua kali setahun boleh dijalankan secara mampan sehingga hari ini selepas 50 tahun MADA ditubuhkan.

INFO

Wujudnya Rancangan Pengairan Muda

- Pembinaan Terusan Wan Mat Saman yang kurang efisien kerana bergantung pada air hujan menjadi pencetus Rancangan Pengairan Muda.

- Projek Muda I yang dimulakan pada tahun 1966 mengambil masa selama empat tahun untuk siap sepenuhnya dan menjadi projek terbesar di Asia ketika itu.

- Infrastruktur dalam kawasan Muda mengalami beberapa perubahan dari segi bentuk pengairan dan saliran berdasarkan topografi dan fizikal kawasan Muda yang menyebabkan wujudnya Projek Muda I dan Muda II.