X

Kindly register in order to view this article
!

'Superman' masuk jel

Salah seorang tertuduh dibawa keluar dari kamar mahkamah oleh anggota trafik bertugas selepas prosiding selesai.
A
A

HULU TERENGGANU - Dua mat rempit dijatuhi hukuman tujuh hari penjara dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Berang di sini hari ini kerana menunggang secara berbahaya sambil melakukan aksi Superman.

Tidak cukup dengan itu, kedua-dua tertuduh, Muhammad Zamri Zahari,29, dan Mohamad Shahril Izwan Saidenar,25, turut berdepan tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membuat keputusan itu selepas mereka mengaku salah

mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu dan membuat aksi yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Lesen kedua-dua tertuduh juga digantung selama dua tahun dan kesalahan itu akan direkodkan di dalam lesen memandu masing-masing.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, tertuduh didakwa menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya bermula daripada Kilometer (KM) 420 sehingga KM411 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) arah Telemong-Bukit Besi jam 11.49 pagi pada 19 Jun lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5, 000 dan tidak lebih daripada RM15, 000, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dua remaja bawah umur masing-masing berusia 18 dan 19 tahun turut mengaku salah atas kesalahan sama.

Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh bagi mendapatkan laporan sosial kerana mereka adalah pesalah juvana.

Mahkamah membenarkan kedua-dua diikat jamin RM3,000 dan RM4,000 dengan seorang penjamin

dan menetapkan 27 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Tuan Rosnah Tuan Husain manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan hasrat sekumpulan lelaki menunggang motosikal dari Kelantan ke Kuala Berang untuk menikmati hidangan ikan baung terbantut apabila mereka ditahan gara-gara melakukan aksi Superman.

Aksi berbahaya itu disedari anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu ketika melakukan Ops Samseng Jalanan di Plaza Tol Gemuroh, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) pada 12 tengah hari.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus