X

Kindly register in order to view this article
!

'Cubaan buat perjanjian tanpa Tun M, Warisan tidak berprinsip'

Salahuddin dan Kula Segaran
Salahuddin dan Kula Segaran
A
A

KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan Plus (PH Plus) menyifatkan sebarang cubaan membuat perjanjian dengan konspirator utama Langkah Sheraton, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dengan mengesampingkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah tidak berasaskan prinsip.

Dalam kenyataan bersama Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP, kedua-dua parti itu menolak sebarang usaha bekerjasama dengan pihak dianggap musuh bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Tidak boleh ada sebarang perjanjian atau cubaan untuk membuat perjanjian dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, konspirator utama rampasan kuasa Langkah Sheraton.

"Sebarang perkiraan yang melibatkan Hamzah, tetapi mengesampingkan Warisan dan kumpulan Dr Mahathir adalah tidak boleh diterima dan tidak berasaskan prinsip,"kata mereka dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan media itu dibuat bersama oleh Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran.

Salahuddin dan Kula Segaran berkata, Amanah dan DAP turut berpandangan bahawa sebarang kombinasi parti untuk memulihkan mandat rakyat mestilah melibatkan parti-parti asal ‘Pakatan Harapan Plus’ yang telah mendapat undi dan sokongan rakyat pada 9 Mei 2018.

Menurut mereka, parti-parti ini adalah Amanah, DAP, PKR, Warisan dan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Adalah penting bagi parti-parti Pakatan Harapan Plus untuk mencapai kesefahaman tentang siapakah musuh sebenar.

"Amanah dan DAP berpegang bahawa Warisan dan kumpulan Dr Mahathir dalam Bersatu bukanlah musuh, sebaliknya mereka adalah sekutu dalam perjuangan menentang gabungan kleptokratik Perikatan Nasional," kata mereka.

Salahuddin dan Kula Segaran turut berpandangan bahawa Muhyiddin, Mohamed Azmin, Najib dan Hamzah merupakan dalang jahat merencana rampasan kuasa Langkah Sheraton demi membebaskan pemimpin UMNO daripada pendakwaan rasuah dan memberi talian hayat kepada pentadbiran kleptokratik sebelum ini.

"Justeru, tidak boleh ada sebarang rundingan pembentukan kuasa dengan kumpulan pemimpin ini, " katanya.

Kedua-dua pemimpin Amanah dan DAP turut menjelaskan kegagalan membezakan antara kawan dan lawan akan membawa PH Plus ke arah kehancuran yang tidak terbendung.

Kenyataan Salahuddin dan Kula Segaran dipercayai merujuk kepada pertemuan kontroversi di antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Hamzah baru-baru ini di mana ianya disahkan kedua-dua pemimpin berkenaan.

Anwar dalam satu kenyataan menegaskan pertemuan itu tidak membawa makna apa-apa dengan beliau menegaskan tidak mengadakan komplot politik sebagaimana 'orang lain'.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf