Belia Chini perlu main peranan urus infrastruktur sukan

Wan Ahmad Fayhsal (tiga dari kiri) melihat keadaan padang futsal yang rosak di Kampung Baru Salong Chini.
Wan Ahmad Fayhsal (tiga dari kiri) melihat keadaan padang futsal yang rosak di Kampung Baru Salong Chini.
A
A
A

PEKAN - Pemimpin belia mampu mainkan peranan lebih aktif dalam tadbir urus dan penjagaan infrastruktur sukan dan hal-hal belia di setiap kampung di bawah Felda Chini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, golongan belia juga perlu ke hadapan dan bersedia menunjukkan bakat kepimpinan dalam urusan yang melibatkan penyelenggaraan kemudahan sukan di Felda itu.

“Saya ada membuat tinjauan ringkas di beberapa padang futsal di kampung-kampung di Felda ini dan mendapati kesemuanya mengalami masalah yang sama iaitu kerosakan akibat kekurangan dana bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

“Kementerian Belia dan Sukan sudah sediakan kemudahan padang futsal, namun begitu keadaan kemudahan seperti padang dan tandas didapati tidak diselenggara pada tahap yang sepatutnya. Di sinilah pentingnya penglibatan pemimpin belia,” katanya ketika meninjau kerosakan padang futsal di Kampung Baru Salong Chini yang sudah dibangunkan sejak 2012.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Muazmir Jili.

Beliau memberitahu bahawa masalah kemudahan tersebut telah dibawa kepada pengetahuan Menteri Belia dah Sukan untuk tindakan lanjut agar masyarakat khususnya belia dapat kembali menggunakan fasiliti sukan di kawasan berkenaan seperti biasa.

Bagaimanapun, beliau percaya, kemudahan seperti itu mampu diselenggara dengan lebih berkesan jika wujud penglibatan aktif pengguna, khususnya persatuan penduduk atau pertubuhan belia dan sukan tempatan.

"Golongan belia boleh mempertingkat bakat kepimpinan dan pengurusan jika mereka proaktif memikul tanggungjawab untuk memastikan pengurusan kemudahan yang baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam lawatan yang sama, Wan Ahmad Fayhsal turut mengadakan sesi ‘townhall’ dengan Majlis Belia Negeri, Majlis Belia Felda, Majlis Belia Daerah Pekan dan gabungan badan-badan belia di negeri Pahang.

“Semuanya baik dan saya ambil maklum cadangan dan saranan, khususnya yang melibatkan bantuan kepada persatuan belia untuk memudahkan kerja mereka di peringkat akar umbi,” jelasnya lagi.