PRU15 diramal makin dekat

Proses mengundi berjalan lancar dengan bantuan petugas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Proses mengundi berjalan lancar dengan bantuan petugas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja daripada sekarang walaupun tempoh tamat penggal Parlimen ke-14 hanya pada 16 September 2023 nanti.

Ia berikutan krisis politik yang terus berpanjangan bermula daripada peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari lalu sekali gus menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang secara mengejut di Putrajaya.

Pada hari ini, PH berterusan mendakwa kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah kerajaan pintu belakang dan bukan daripada mandat rakyat.

Desakan bertali arus oleh PH disebabkan kerana perbezaan ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan di Dewan Rakyat yang amat tipis. PH mempunyai 107 ahli Parlimen manakala PN pula 114 ahli Parlimen, sementara seorang ahli Parlimen berpendirian bebas.

Perbezaan yang sedikit itu menyebabkan urusan ‘jual beli’ ahli Parlimen rancak dilakukan. Kedua-dua pihak nampaknya tidak mahu mengalah.

Oleh sebab itu, beberapa pemimpin tertinggi daripada UMNO dan Pas mencadangkan supaya PRU15 diadakan segera dan menyerahkan kembali hak memilih kerajaan kepada rakyat bagi menyelesaikan isu tersebut secara muktamad.

Namun, sebelum PRU15 diadakan, pihak berwajib perlu berhati-hati dan melihat semula ancaman kesihatan terhadap rakyat ketika wabak koronavirus (Covid-19) masih melanda Malaysia sekarang.

Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Sauffiyan Hassan berpendapat, indikator utama yang menunjukkan PRU15 semakin jelas kelihatan apabila kerajaan berjaya mengawal ancaman wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jika prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang yang bermula Sabtu ini dapat dipatuhi dan berkesan, sudah pasti SOP sama akan digunakan pada PRU15.

“Saya juga yakin, jika tidak ada wabak Covid-19 yang melanda sekarang, hampir pasti Perdana Menteri (Muhyiddin) sudahpun membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 dan menyerahkan kembali hak memilih kepada rakyat.

“Satu lagi indikator PRU15 semakin dekat adalah pemimpin-pemimpin dalam PN semakin kerap mengadakan mesyuarat dan asyik menyebut mengenai PRU15 dalam kenyataan mereka. Saya jangkakan PRU15 paling awal diadakan pada September ini,” katanya.

No Image Caption

Dalam pada itu, Jumaat lalu Sinar Harian turut melaporkan gesaan empat Ahli Parlimen UMNO yang meminta PRU15 diadakan bagi menutup kata-kata sinis mengenai kerajaan pintu belakang.

Antara yang membuat gesaan terbabit ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar.

Perpecahan PH

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr Jeniri Amir turut bersetuju PRU15 mungkin diadakan paling awal antara September atau Oktober tahun ini.

Beliau berkata, PRU15 perlu dilakukan segera bagi merungkai keraguan kedua-dua pihak secara muktamad.

Jelasnya lagi, perselisihan yang semakin ketara antara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sedikit sebanyak memberi masa kepada PN bagi membuat persiapan menghadapi PRU15.

“Kegagalan PH memilih calon Perdana Menteri akan membawa kepada satu krisis yang besar kepada mereka. Mereka perlu segera menyelesaikan perkara ini sebelum memikirkan berkenaan PRU15,” katanya.

Dalam pada itu, Jeniri berpendapat PRU15 tidak akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang perlu diadakan sebelum 7 September 2021.

“Bagi saya PRU15 tidak akan diadakan serentak dengan PRN Sarawak atas sebab strategi politik, kedua-duanya akan diadakan secara berasingan,” katanya.

Kata Jeniri lagi, buat masa ini, kedua-dua pihak perlu meletakkan kepentingan negara berbanding dengan kepentingan politik peribadi disebabkan ancaman kesihatan.

“Agak sukar PH mahu menumbangkan (lompat parti) PN kerana habuan-habuan yang diberikan kepada ahli Parlimen mereka. Bagaimanapun saya jangkakan paling lewat PRU15 akan diadakan pada tahun depan,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan memberi pandangan bahawa UMNO perlu berkorban supaya PN menjadi gabungan yang lebih stabil menjelang PRU15.

Saranan Wan Saiful itu hampir pasti tidak akan dihiraukan oleh UMNO kerana parti Melayu terbesar tersebut tidak akan menyerahkan lagi kerusi kepada pihak ketiga selepas mereka sudahpun berbincang dengan Pas bagi agihan kerusi.

Ini kerana sudah terang lagi bersuluh Bersatu sekarang hanya cuba untuk mengekalkan survival politik sedangkan Barisan Nasional (BN) dan Pas sudah membuat persedaiaan lama untuk menghadapi PRU15.

Jadi sekarang terpulang kepada Perdana Menteri. Apa yang pasti sebahagian besar daripada kita tidak sabar mahu melihat apa pula manifesto yang bakal disajikan pada PRU15.