Patuhi SOP ketika melancong

Wan Saipul Azwal Wan Muhammad
Wan Saipul Azwal Wan Muhammad
A
A
A

PASIR MAS - Orang ramai yang berkunjung ke pusat peranginan atau pelancongan dinasihatkan supaya tidak mengabaikan aspek kebersihan dan terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Kelantan (3PK), Wan Saipul Azwal Wan Muhammad berkata, pematuhan SOP itu merupakan kunci di sebalik kejayaan melawan wabak pandemik Covid-19 tersebut selain perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan sebelum ini.

"Saya akui melancong atau berkunjung ke pusat peranginan adalah salah satu bentuk riadah yang mampu meredakan tekanan sepanjang perlaksanaan PKP tempoh hari.

"Namun dalam kita bergembira aspek kebersihan seperti mencuci tangan, penjarakkan sosial dan pematuhan SOP tidak boleh diabaikan begitu sahaja," katanya.

Menurutnya, gerak kerja melawan Covid-19 perlu diteruskan kerana Malaysia masih lagi belum menang.

Katanya, justeru, seluruh rakyat perlu berganding bahu dan mengikut segala peraturan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

"Sebab itulah kerajaan memperkenalkan slogan #kitajagakita dengan tujuan supaya setiap rakyat Malaysia mengambil berat aspek keselamatan diri sendiri," katanya.

Sinar Harian 7 Jun lalu melaporkan, kerajaan memutuskan untuk membenarkan aktiviti pelancongan domestik menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Artikel Berkaitan:

Langkah itu selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri dikenakan.

Terdahulu, pada 13 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin memberitahu sektor pelancongan negara dianggarkan mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM3.37 bilion dari Januari hingga Februari 2020 akibat penularan wabak itu.

Kerugian itu susulan pembatalan pakej pelancongan dan turut menjejaskan mereka yang bekerja dengan syarikat penerbangan dan perhotelan.