Lanjutkan moratorium langkah terbaik

No Image Caption
A
A
A

HANYA bank-bank mempunyai kuasa untuk menentukan lanjutan moratorium dan institusi kewangan itu tidak boleh dipaksa untuk berbuat demikian.

Namun secara peribadi Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata: “Kita perlu menolong orang yang perlu ditolong.”Maka, pandangan peribadi Tengku Zafrul perlu dilihat dengan lebih serius oleh pihak bank kerana tempoh enam bulan moratorium yang diberikan bermula 1 April 2020 masih belum mencukupi terutama bagi golongan yang terkesan akibat Covid-19.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) melalui Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor menegaskan tempoh moratorium perlu dilanjutkan sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini selari dengan tindakan kerajaan untuk memperkukuhkan ekonomi negara.

Beliau berkata, ramai yang mengharapkan ia dilanjutkan memandangkan tempoh yang diberikan dilihat tidak mencukupi untuk rakyat Malaysia yang terkesan untuk menstrukturkan semula kewangan yang terjejas.

Katanya, jika ia dipanjangkan, ia akan memberi manfaat kepada lebih 14 juta pekerja membabitkan sektor kerajaan, swasta dan golongan yang bekerja sendiri.

Begitu juga pandangan oleh Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan yang melihat tempoh enam bulan tersebut belum mencukupi untuk menstabilkan aliran tunai yang terjejas.

Jika ditanya kepada orang ramai, ataupun diwujudkan petisyen online, sudah pasti ramai yang bersetuju moratorium dilanjutkan kerana rakyat perlu berbelanja untuk kembali merancakkan ekonomi negara.

Paling tidak, laksanakan moratorium bersasar untuk mereka yang kehilangan pekerjaan, tidak dapat berniaga dan golongan pekerja yang dipotong gaji mereka.

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya, bank-bank perlu memahami bahawa langkah melanjutkan moratorium itu amat mulia daripada memaksa peminjam untuk melunaskan hutang dalam keadaan mereka tidak mempunyai sumber kewangan bagi menjelaskan hutang berkenaan.