PKR terbuka bincang isu calon PM

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) terbuka untuk berbincang berhubung isu calon Perdana Menteri walaupun sebelum ini sudah menyatakan pendirian berhubung perkara itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, parti itu tidak mempunyai masalah namun berharap sebarang keputusan di peringkat Pakatan Harapan (PH) perlu diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

"Sebarang cadangan baharu tidak harus dijadikan mainan politik peribadi mana-mana tokoh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi kenyataan sama, Saifuddin berkata, isu itu adalah antara perkara yang dibincangkan pihaknya menerusi mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, hari ini termasuk berkaitan mandat rakyat dan persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain itu katanya, PKR juga kekal dengan pendirian bahawa mandat rakyat mesti dipulangkan ke tempatnya pada kadar segera dan dalam bentuk yang diberi oleh rakyat kepada PH pada PRU14 termasuk dalam isu peralihan kuasa daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"MPP berpendirian bahawa kerjasama di antara parti-parti PH mesti diperkukuh.

"Kita juga mengingatkan agar semua pihak sentiasa berwaspada dan jangan terperangkap dengan sebarang usaha atau langkah yang direncana untuk melagakan parti-parti di dalam PH seperti mana yang pernah dilakukan terhadap PKR sebelum ini," katanya.

Tegasnya, PKR dan PH akan berusaha bersungguh-sungguh untuk bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlakunya PRU15 lebih awal daripada 2023.

Artikel Berkaitan: