Lembu punya susu...

A
A
A

PERNAHKAH kita berhadapan dengan situasi yang mana seseorang yang mendapat nama atau kedudukan hasil daripada kerja orang lain?

Itulah intipati yang digambarkan dalam peribahasa ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’. Peribahasa itu sangat sesuai digunakan bagi menggambarkan perbuatan individu bergelar ketua atau pemimpin yang terlalu megah dan berbangga meraikan kejayaan jabatan atau unit pimpinannya tanpa mengakui peranan pihak lain di sebalik kejayaan tersebut.

Dia bahkan terus berbangga menguar-uarkan kepada umum seolah-olah kejayaan itu adalah hasil titik peluhnya secara mutlak. Walaupun menyedari hakikat sebenar di sebalik kejayaan tersebut, sanjungan dan pengiktirafan berterusan yang diberikan oleh pihak atasan telah menutup mata dan hati ketua tersebut untuk memandang siapa tonggak kekuatan di sebalik kejayaan itu.

Paling mengharukan apabila ketua itu melupakan mereka di bawah sana yang bertungkus-lumus bekerja dari dinihari hingga bulan mengambang dan kadangkala mengabaikan kehidupan sosial pekerja itu sendiri.

Ketika susah, wargalah yang dicari dan dijadikan pendamping setia bagi menyempurnakan tugas tetapi pendapat dan tenaga mereka tidak lagi diendahkan apabila kejayaan digapai.

Situasi itu adalah realiti kehidupan dan pengalaman yang mungkin berlaku kepada ramai warga kerja sesebuah organisasi. Mungkin ada pemimpin yang berasa sememangnya dia layak dipuji dan disanjung bila jabatan pimpinannya berjaya. Kejayaan itu lambang kebijaksanaannya memimpin orang bawahan dan mencatur strategi.

Pun begitu, pemimpin tidak harus menidakkan sama sekali sumbangan orang lain kerana ia memberi impak terhadap moral dan kemanusiaan. Kejayaan, pujian dan sanjungan akan menjadi lebih manis apabila ia dinikmati bersama kerana warga lain turut menyumbang pandangan, tenaga dan masa dalam penentuan hala tuju sesebuah organisasi.

Teori dan kajian kepimpinan dalam organisasi menunjukkan terdapat ketua yang cenderung mementingkan hasil berbanding kemanusiaan. Apabila hal itu berlaku, maka situasi yang diceritakan di atas juga akan berlaku dalam organisasi.

Artikel Berkaitan:

Teori kepimpinan juga menunjukkan bahawa organisasi akan mengecapi kejayaan sebenar apabila ketua mengutamakan kedua-dua aspek matlamat tugas dan kemanusiaan. Kesan penekanan kepada kedua-dua aspek itu akan menimbulkan rasa setia dan komitmen pihak pekerja bawahan yang sukar digugat walaupun organisasi berdepan dengan pelbagai ranjau perubahan. Strategi

Setiap warga organisasi harus memahami bahawa kesetiaan kepada organisasi merupakan ikatan psikologi antara pekerja dengan organisasi bagi menjayakan matlamat secara bersama. Jika ikatan itu tidak dibugar, maka kejayaan tidak kekal lama, pudar di tengah jalan atau matlamat gagal dicapai sama sekali.

Organisasi perlu mengguna pakai apa sahaja strategi mampannya bagi membugar dan menyegarkan rasa setia warga terutamanya dalam kalangan pekerja cemerlang. Di pihak warga pula, usaha gigih yang ditunjukkan kepada organisasi tidak seharusnya mencetuskan stres kepada mereka.

Janganlah juga sentiasa berharap sesuatu yang indah akan diberikan oleh organisasi bagi membalas usaha gigih tersebut. Organisasi tidak mampu menjanjikan bulan dan bintang sepanjang masa.

Pada hemat penulis, asal sahaja organisasi memberi stres pekerjaan yang minimum serta mengutamakan keseimbangan kerja dan keluarga, ia sudah mencukupi bagi setiap warga menikmati kesejahteraan dan kejayaan hidup yang sebenar.

Ketua dan pemimpin pula harus menjadi pemimpin yang bukan sahaja mengejar matlamat organisasi sehingga mengabaikan hubungan sesama insan, terutamanya dengan orang bawahan. Mereka juga harus mengingatkan diri sendiri supaya tidak mabuk dek pujian atas kejayaan yang dikecapi melalui usaha orang bawahan.

Sesungguhnya, pujian itu ibarat arak yang mengkhayalkan dan membawa pemimpin jauh ke bulan dan bintang di langit ketujuh yang hanya indah bila dipandang dari jauh.

Sebaliknya, renunglah juga rumput hijau di bumi yang memberi impak besar kepada kehidupan dan kesejahteraan organisasi.

* Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia