Hishammuddin nafi terlibat tubuh parti baharu

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

PEKAN - Bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan beliau masih setia bersama UMNO dan tidak terlibat dengan cadangan penubuhan parti baharu kononnya dikenali sebagai Parti Reformasi Bersatu Negara yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Menteri Luar itu berkata, beliau tidak terkejut dituduh bermacam-macam dakwaan akan meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak terkejut (kerana) sebelum ini (pernah) dikatakan nak wujudkan parti baharu dengan (bekas Timbalan Presiden PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali...itu merupakan fitnah nak melaga-lagakan pemimpin kita.

“Saya rasa ini bersandarkan kepada niat jahat, (jadi) tak perlulah kita jawab banyak sangat kerana itulah yang mereka (pihak berkenaan) hendakkan kita layan isu-isu ini supaya berterusan di dalam media sosial,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke beberapa perkampungan Orang Asli di Kampung Gumum, Chini dekat sini hari ini.

Lawatan Hishammuddin ke perkampungan orang asli itu adalah bagi membantu kempen calon BN Mohd Sharim Md Zain yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dengan pengundian Sabtu ini.

Dakwaan penaja parti baharu itu adalah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Parti Reformasi Bersatu Negara, Mohamed Azmin sebagai Ketua Umum, Hishammuddin sebagai Presiden dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Presiden.

Semalam, Ismail Sabri yang merupakan Naib Presiden UMNO menafikan menyertai atau terlibat dengan cadangan penubuhan parti baharu itu pada satu program di Bandar Dara, Chini.

Hishammuddin juga tidak menolak kemungkinan isu penubuhan parti itu ditimbulkan oleh pihak yang mahu menimbulkan persepsi negatif bahawa terdapat masalah dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir negara ketika ini.

Artikel Berkaitan:

“Ini menunjukkan betapa terdesaknya mereka (dan bimbang) pada apa yang telah kita (kerajaan PN berjaya) lakukan, (yang) baru 100 hari sahaja pimpin negara.

“Kalau ini menunjukkan bahawa mereka bimbang dan gunakan strategi sebegitu rupa, bagi saya itu (adalah) bagus dan ini menunjukkan kita (kerajaan PN) berada atas landasan yang baik,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin menjangkakan pengundi dari luar akan mengambil kesempatan untuk pulang mengundi setelah mengambil kira faktor boleh merentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Hasil maklum balas jentera BN menerusi lawatan rumah ke rumah di sini, ramai yang memberitahu anak-anak akan mengambil kesempatan balik mengundi,” katanya.

Terdapat 20,990 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal dalam DUN Chini. Daripada jumlah itu, kira-kira 9,000 adalah pengundi di luar kawasan DUN. - Bernama