Tengku Zafrul komited untuk berikan yang terbaik

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dalam merangka langkah-langkah untuk memastikan Malaysia dapat bertahan daripada serangan koronavirus (Covid-19) yang telah menyebabkan gangguan yang besar kepada ekosistem global, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz komited untuk terus memberikan yang terbaik dalam melaksanakan tugasnya.

Hari ini merupakan 100 hari pertama Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S.A. Vigneswaran pada Mac 2020.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, saya diberikan peluang untuk berbakti kepada rakyat dan negara.

“Jutaan terima kasih kepada rakan-rakan Kabinet, warga kerja di Kementerian Kewangan (MoF), agensi-agensi berkaitan dan rakyat semua atas sokongan yang diberi.

“Insya-ALLAH, saya akan sentiasa memberikan fokus 100 peratus kepada kebajikan rakyat dan kelangsungan ekonomi negara,” kata beliau yang berkongsi perjalanannya di MoF dalam akaun media sosialnya.

Kemahiran beliau dalam bidang kewangan dan pelaburan diuji dalam menempuh kemerosotan ekonomi berikutan Covid-19, yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke arah pemulihan.

Kerajaan melalui MoF segera menyediakan pakej rangsangan untuk mengurangkan impak negatif daripada pandemik tersebut.

Ini termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM260 bilion dengan matlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan mengukuhkan ekonomi serta Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bernilai RM35 bilion untuk memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi. - Bernama

Artikel Berkaitan: