Tak sempat bawa ayam pencen rentas Sungai Golok

Ayam pencen diambil menggunakan sebuah lori dari Machang untuk dihantar ke pangkalan haram di Tumpat.
Ayam pencen diambil menggunakan sebuah lori dari Machang untuk dihantar ke pangkalan haram di Tumpat.
A
A
A

TUMPAT - Sebanyak 763 ayam pencen bernilai RM11,445 tidak sempat dibawa ‘menyeberangi’ Sungai Golok apabila dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 di Kampung Tualang di sini hari ini.

Serbuan pada jam 1.50 pagi itu turut melibatkan penahanan seorang pemandu lori berusia 28 tahun yang membawa muatan ayam seludup tersebut dipercayai dalam perjalanan ke pangkalan haram.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, sebelum itu, sepasukan anggota Cawangan Risik PGA Batalion 7 bertindak atas maklumat berhubung penyeludupan haiwan dan berjaya menahan sebuah lori jenis Isuzu berwarna putih yang dipandu suspek.

“Pemeriksaan di belakang lori mendapati terdapat 109 bakul plastik mengandungi 763 ayam pencen dianggarkan bernilai RM11,445.

“Seterusnya pemeriksaan ke atas dokumen iaitu Surat Kebenaran Memindahkan Ternakan/Bahan Haiwan Dalam Semenanjung Malaysia Seksyen (1)(a) dan (c), helaian Sijil Kesihatan Veterinar dan Permit Masuk Ternakan bertarikh 18 Jun 2020 serta Invois tamat tempoh selain mencurigakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat awal, suspek memberitahu mengambil ayam tersebut dari Machang untuk dihantar ke tempat pengumpulan di tepi pangkalan haram untuk diseludup ke negara jiran Thailand dengan menggunakan bot merentasi Sungai Golok.

“Suspek berasal dari Pasir Mas ditahan bersama haiwan serta lori yang bernilai RM60,000 dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1) (b) dan (c) Ordinan Haiwan 1953.

Artikel Berkaitan: