Hishammuddin puas hati komitmen jentera BN

Hishammuddin mengambil peluang meninjau pemandangan Tasik Chini di jeti Kampung Gumum sempena Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Gumum hari ini.
Hishammuddin mengambil peluang meninjau pemandangan Tasik Chini di jeti Kampung Gumum sempena Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Gumum hari ini.
A
A
A

PEKAN - Ahli Parlimen Semberong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berpuas hati dengan persiapan jentera Barisan Nasional (BN) yang bersungguh-sungguh berkempen bagi memastikan kemenangan calonnya, Mohd Sharim Md Zain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Beliau berkata, hasil tinjauannya di beberapa pusat daerah mengundi (PDM) di sini mendapati semuanya berjalan lancar.

Bagaimanapun, katanya, untuk tempoh kempen yang berbaki enam hari lagi, BN perlu mempunyai perancangan berkesan supaya dapat menarik sokongan pengundi di kawasan tersebut termasuk pengundi luar.

"Saya ingatkan mereka bahawa PRK ini ialah yang pertama selepas kita membentuk kerajaan dan ia mungkin yang terakhir sebelum Dewan Rakyat bersidang.

"Jadi kita sampaikan pesanan-pesanan supaya semua memberikan sokongan," katanya ketika ditemui pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Gumum, di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, semua pengundi di DUN Chini dan jentera perlu bergerak dalam satu pasukan yang mantap untuk memastikan calon BN menang dengan majoriti besar.

"Saya juga sudah mendekati pengundi luar dan mereka rata-rata akan balik untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di DUN ini, 4 Julai nanti.

"Jadi kita alu-alukan kepulangan mereka untuk menentukan calon yang akan mewakili mereka kelak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai pengundi orang asli, beliau yang turut mendekati pengundi tersebut bersama Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor berkata, orang asli bukan sahaja setia tetapi mempunyai pendirian selain keperluan yang perlu diambil kira.

Bagaimanapun, beliau berharap orang asli memberi sokongan kepada BN berikutan parti itu komited dalam perjuangan terhadap kaum tersebut.

"Perjuangan kita dalam membela nasib orang asli dah lama dan tiada siapa lagi kecuali BN, jadi saya harap mereka tidak lupa untuk memilih calon BN pada PRK ini," katanya.