Wan Abdul Rahim, Afandi ‘berehat’ dari Kafa

Shaari (tengah) bersama Afandi (kanan) pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif di Wisma Kafa di Pasir Tumboh hari ini.
Shaari (tengah) bersama Afandi (kanan) pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif di Wisma Kafa di Pasir Tumboh hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Dalam kemelut Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berdepan bebanan hutang dan isu kewangan, dua pemimpin tertinggi persatuan itu mengambil keputusan untuk ‘berehat’ sementara bermula hari ini.

Keputusan drastik oleh Presiden Kafa, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Timbalan Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah itu dibuat setelah mencapai kata sepakat dan persetujuan pihak Jawatankuasa Eksekutif Kafa hari ini.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif tersebut turut bersetuju memberi mandat kepada Naib Presiden, Datuk Shaari Mat Hussin bagi mengemudi persatuan berkenaan.

Afandi berkata, Kafa mengambil sepakat untuk meneruskan usaha-usaha menyelesaikan amanah iaitu hutang tersebut dan keputusan besar yang dilakukan dengan membuat perubahan pada struktur persatuan berkenaan.

“Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kafa akan meneruskan berusaha mencari jalan bagi menyelesaikan isu hutang lapuk dan dengan itu bersetuju supaya Datuk Presiden Kafa dan saya selaku Timbalan Presiden Kafa untuk berehat buat sementara waktu.

“Dalam tempoh tersebut mesyuarat bersetuju untuk melantik Datuk Shaari selaku Naib Presiden untuk menjalankan tugas-tugas Presiden dan Timbalan Kafa berkuat kuasa serta-merta,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat berkenaan di Wisma Kafa, Pasir Tumboh di sini hari ini.

Mesyuarat berlangsung hampir dua jam memilih Shaari bagi mengemudi Kafa buat sementara waktu di Wisma Kafa.
Mesyuarat berlangsung hampir dua jam memilih Shaari bagi mengemudi Kafa buat sementara waktu di Wisma Kafa.

Beliau berkata, Kafa amat menaruh kepercayaan dan keyakinan yang tinggi terhadap Shaari untuk melakukan sesuatu dan menyelesaikan masalah dihadapi persatuan dalam tempoh pemangkuan jawatan tersebut sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Artikel Berkaitan:

“Beliau nanti akan melaksanakan tugas-tugas sepertimana yang kita persetujui dan akan memaklumkan semula kepada Kafa apabila sampai masanya nanti.

“Kita berlaku adil dan tidak tetapkan tempoh selama mana serta memberi ruang kepada Datuk Shaari untuk beliau sendiri membuat tugas dan usaha mengikut keselesaan beliau dalam tempoh-tempoh yang dirasakan dan difikirkan wajar oleh beliau sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Shaari berkata, beliau bersama barisan exco kepimpinan Kafa akan berusaha sedaya-upaya menggalas tanggungjawab menyelesaikan bebanan hutang dan membaik pulih kerosakan melanda persatuan itu mengikut kesesuaian masa yang ada.

“Kepimpinan baharu masih juga membantu, setakat ini kita sudah berjaya selesaikan hutang RM3 juta daripada jumlah keseluruhan hutang RM6.9 juta dan masih berbaki RM4.2 juta. Hutang ini akan cuba diselesaikan secara berperingkat-peringkat dan pada masa sama kita akan tengok kewangan pasukan.

“Sebenarnya prestasi pasukan sudah berada di landasan yang betul dan menunjukkan peningkatan pada awal musim, namun wabak koronavirus (Covid-19) menyebabkan penaja menarik diri daripada menaja mereka,” katanya.