21 sekolah di Sabah dinaiki air, 4 dijadikan PPS

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 21 sekolah di Sabah dinaiki air setakat ini manakala empat sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa banjir berikutan hujan lebat melanda negeri ini sejak semalam.

Pengarah Pendidikan Sabah, Dr Mistirine Radin dalam kenyataan hari ini berkata, kesemua sekolah terbabit terletak di tujuh daerah iaitu Penampang, Kota Kinabalu, Papar, Sipitang, Kota Belud, Tuaran dan Beaufort.

Sebanyak empat sekolah dinaiki air di Penampang iaitu Sekolah Menengah St. Micheal, Sekolah Kebangsaan (SK) Sugud, SK Kibabaig dan SK St. Theresa; satu sekolah di Kota Kinabalu iaitu SK Rampayan; dan dua sekolah di Tuaran membabitkan SK Bundung serta SK Tinambak.

Di Papar, sekolah dinaiki air ialah SK Daingin, SK Kambizaan, SK Gana, SK Pekan Kinarut, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kin Kiau, Kinarut, SJKC Cheng Ming, SK Kelatuan, manakala di Sipitang sekolah terjejas ialah SK Long Pasia.

Sementara itu di Kota Belud, dua sekolah dinaiki air iaitu SK Sembirai dan SK Kesapang, dan empat sekolah lagi dijadikan PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi II, SMK Taun Gusi, SMK Pekan dan SMK Agama Tun Said.

Di Beaufort, empat sekolah di daerah itu yang terjejas banjir ialah SK Bukau, SK Ladang Lumadan, SK Sinoko dan SK Klias Baru.

Mistirine berkata, sekolah-sekolah rendah terbabit masih belum beroperasi, namun sedang dalam persediaan bagi pembukaan prasekolah pada 1 Julai, dan hanya sesi persekolahan di SM St Micheal di Penampang sahaja terjejas serta bersedia untuk ditutup esok sehingga banjir pulih.

Sementara itu, Jambatan Lama Tamparuli yang menjadi kemudahan alternatif penduduk sekitar untuk ke pekan Tamparuli ditutup untuk lalu lintas akibat dilanda banjir.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Bernama di kawasan itu mendapati penutupan jambatan berkenaan bagaimanapun tidak menjejaskan penduduk setempat yang boleh pergi ke pekan menggunakan Jalan Bontoi yang tidak terjejas.

Kemudahan laluan sepanjang kira-kira 100 meter dari arah Kota Kinabalu-Tamparuli itu terletak bersebelahan jambatan gantung Tamparuli yang dibina oleh tentera British sekitar tahun 1960.

Bagi penduduk setempat, jambatan lama itu dikenali sebagai 'jambatan timbul tenggelam' kerana kerap dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat.

Tinjauan juga mendapati beberapa pekerja kontraktor dilihat sedang mengemas kabel telefon di beberapa kawasan di daerah ini yang terjejas banjir sebelum melakukan pembaikan bagi memulihkan perkhidmatan itu.

Selain kerosakan kabel telefon, bekalan elektrik dan air paip kepada penduduk Tamparuli dan Tuaran turut terjejas.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass menasihatkan penduduk yang terjejas banjir supaya berpindah ke PPS bagi mengelakkan risiko yang lebih teruk.

Ketua Polis Daerah di daerah terjejas banjir telah diarah memantau keadaan dan aspek keselamatan, katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan banjir di Penampang.

Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Penampang dan balai polis Tamparuli turut dinaiki air dan peralatan termasuk dokumen penting telah dipindahkan ke tempat selamat. - Bernama