PRK DUN Chini: Calon Bebas ketandusan isu

Wan Rosdy (dua dari kanan) bersama calon BN, Mohd Sharim Md Zin (tengah) beramah mesra dengan peniaga roti, Muhammad Dzul Arfandi Zaidi, 29, ketika bersarapan di kedai makan Dee Ikram Jaya Felda Chini Timur Tiga sempena kempen PRK DUN Chini hari ini. - Foto Bernama
Wan Rosdy (dua dari kanan) bersama calon BN, Mohd Sharim Md Zin (tengah) beramah mesra dengan peniaga roti, Muhammad Dzul Arfandi Zaidi, 29, ketika bersarapan di kedai makan Dee Ikram Jaya Felda Chini Timur Tiga sempena kempen PRK DUN Chini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PEKAN - Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini ketandusan isu apabila terus memainkan masalah rakyat yang sudah diselesaikan oleh kerajaan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mereka dilihat terus memainkan isu perumahan generasi kedua peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan masalah air di kawasan DUN Chini dalam kempen sedangkan ia sudah dalam proses penyelesaian.

Menurutnya, isu itu sehingga kini masih dihangatkan oleh mereka walaupun pelbagai kenyataan sudah dikeluarkan oleh pihaknya berhubung perkara terbabit.

"Saya anggap mereka (calon Bebas) ketinggalan mengenai perkembangan di negeri ini terutama di kawasan DUN Chini.

"Mereka juga ketandusan modal dan idea kerana masih ulang isu yang tindakan penyelesaian sudah diambil. Jadi pengundi di Chini diharapkan tidak terpengaruh dengan calon seperti ini," katanya ketika ditemui pada program lawatan mesra untuk bertemu pengundi DUN Chini hari ini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM9.5 juta bagi memulihkan projek rumah generasi kedua di Felda Chini 3 di sini yang terbengkalai sejak tahun 2017 akibat kontraktor bermasalah.

Felda juga dilaporkan sedang berusaha mendapatkan peruntukan sebanyak RM6.4 juta untuk membina 71 lagi rumah bagi memastikan rancangan asal membina 100 unit rumah generasi kedua di Felda Chini 3 dapat dilaksanakan.

Masalah gangguan bekalan air di sekitar Gugusan Felda Chini dijangka dapat diselesaikan dengan pembinaan kolam takungan hiliran (ORS) di muka sauk Sungai Mentiga, Pekan bermula September ini.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: RM9.25 juta selesai isu rumah generasi kedua Felda terbengkalai