Kerajaan pertimbang langkah susulan jika ekonomi terus malap

Mustapa (kiri) semasa sidang akhbar di Pondok Moden, Bukit Bunga di sini hari ini.
Mustapa (kiri) semasa sidang akhbar di Pondok Moden, Bukit Bunga di sini hari ini.
A
A
A

JELI - Kerajaan mungkin mempertimbangkan langkah susulan sekiranya perkembangan ekonomi di negara ini tidak berjalan lancar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan kini sedang dalam proses memulihkan ekonomi dalam tempoh pasca koronavirus (Covid-19) dengan perkembangan ekonomi ketika ini hampir 90 peratus bergerak.

Bagaimanapun katanya, jumlahnya masih belum menyeluruh termasuklah peruncitan iaitu di tahap 20 hingga 30 peratus.

"Fokus utama kerajaan kini ialah mengambil langkah mempertingkatkan usaha memulihkan kembali aktiviti ekonomi di pasca Covid-19 supaya apabila ekonomi bergerak dengan baik, maka bebanan yang ditanggung juga akan berkurangan.

"Kalau ekonomi masih malap, maka kerajaan boleh mempertimbangkan langkah seterusnya," katanya kepada pemberita ketika hadir pada Program Menjana Ekonomi Digital@Jeli di Pondok Moden, Bukit Bunga di sini hari ini.

Program tersebut turut dihadiri 79 peserta Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Mengulas lanjut, beliau berkata, keperluan untuk melanjutkan lagi tempoh moratorium yang bakal berakhir September depan memerlukan kajian terperinci sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

Sebelum ini, pihaknya telah mendengar taklimat daripada beberapa pihak terutamanya usahawan dan pihak perbankan namun tiada sebarang keputusan rasmi berhubung perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau yakin, sekiranya ekonomi berjalan baik, maka keperluan untuk melanjutkan moratorium mungkin berkurangan, tidak sebagaimana sewaktu pelaksanaan awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).