Solat Jumaat dua sesi diumum hujung minggu ini: Zulkifli

Zulkifli ditemui pada lawatan kerja ke Lembaga Zakat Negeri Kedah (LNZK) di Jalan Teluk Wanjah, Alor Setar.
Zulkifli ditemui pada lawatan kerja ke Lembaga Zakat Negeri Kedah (LNZK) di Jalan Teluk Wanjah, Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Keputusan keperluan solat Jumaat dua sesi yang dibincangkan sebelum ini akan diumumkan kepada orang awam pada akhir minggu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya sedia maklum ada negara telah melaksanakan solat Jumaat dua sesi.

"Sebahagian negara lain telah melaksanakannya. Insya-ALLAH kita ambil kecaknaan tentang perkara itu.

"Saya akan kemukakan keputusan itu kepada khalayak pada hujung minggu ini," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas tarikh pengumuman keputusan berkaitan keperluan solat Jumaat dua sesi di negara ini.

Terdahulu beliau ditemui pemberita pada lawatan kerja ke Lembaga Zakat Negeri Kedah (LNZK) di Jalan Teluk Wanjah di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Agama dan Pendidikan Datuk Najmi Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim, Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Syeikh Zakaria Othman.

Sebelum ini, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) mengadakan perbincangan berhubung solat Jumaat dua sesi bagi membolehkan lebih ramai jemaah datang menunaikan solat Jumaat selepas lebih tiga bulan masjid ditutup akibat wabak koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Difahamkan masjid di Singapura telah dibenarkan untuk mengadakan solat Jumaat dua sesi solat pada 26 Jun lepas yang diadakan dengan selang waktu sekitar 30 minit antara dua sesi tersebut.