KADA yakin mampu tingkat hasil padi di Kelantan

Kamarudin (kiri) dan Nik Roslan berbincang dalam memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi.
Kamarudin (kiri) dan Nik Roslan berbincang dalam memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengerusi baharu Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Kamarudin Md Nor yakin kadar pengeluaran padi di negeri ini dapat ditingkatkan.

Kamarudin berkata, pada tahun 2019 sebanyak 202,958 tan metrik padi dihasilkan dan ia sebenarnya sudah melebihi kadar kegunaan rakyat di negeri ini yang mana penggunaannya hanya 145,000 metrik tan setahun.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut KADA juga berjaya menyumbang hasil padi sebanyak 9.50 peratus kepada negara pada tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, untuk menambah hasil keluaran, pihaknya perlu menangani beberapa masalah termasuk bekalan air yang dialami selama ini oleh pesawah di kawasan KADA.

“Padi jenis basah yang diusahakan di sini memerlukan jumlah air mencukupi pada satu-satu masa. Jadi itu antara perkara yang akan diberikan perhatian terutamanya musim kemarau.

“Saya yakin dengan bantuan kepakaran daripada pengurusan sedia ada ini dapat menyelesaikan kekangan yang dihadapi ini dalam tempoh lima tahun,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu Kamarudin menghadiri taklimat pertama pengurusan tertinggi di Ibu Pejabat KADA yang turut dihadiri Pengurus Besarnya, Nik Roslan Idris hari ini.

Kamarudin berkata, selain masalah air, pihaknya juga mendapati kawasan penanaman padi semakin sempit kerana digunakan untuk projek pembangunan termasuk pembinaan rumah antara faktor yang perlu diatasi bagi meningkatkan pengeluaran hasil.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, lebih kurang 10,000 hektar kawasan penanaman padi sudah digunakan untuk pembangunan sejak lebih 40 tahun lalu.

“Semua masalah ini memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri dan Pusat untuk memastikan Kelantan bukan sahaja menjadi jelapang padi untuk negeri bahkan negara,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini penanaman padi di negeri ini diusahakan di seluas 26,833 hektar dengan melibatkan 7,722 pesawah.

Dalam pada itu mengulas mengenai jawatan pengerusi yang disandang oleh Datuk Husam Musa sebelum ini, Kamarudin berkata, beliau berhasrat untuk meneruskan sebarang idea baik yang disumbangkan bekas pengerusi itu dalam merealisasikan misi penubuhan KADA.

“Kita tidak melihat pada parti, apa yang baik dibawa oleh Datuk Husam kita akan teruskan,” katanya.