Projek RTP tergendala disebabkan Covid-19: Wan Junaidi

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

LUNDU - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan pelaksanaan projek-projek Transformasi Luar Bandar (RTP) tergendala disebabkan Covid-19 yang menyebabkannya lewat disiapkan.

Beliau berkata, kelewatan itu bukan disengajakan oleh pihak kerajaan atau kontraktor.

“Oleh sebab itu, saya memohon kepada rakyat supaya memahami sebab kelewatan ini bukan atas kehendak kerajaan, bukan kehendak kontraktor dan wakil rakyat.

“Saya juga menafikan sekeras-kerasnya dakyah yang mengatakan kerajaan tidak ada wang (sehingga menyebabkan kelewatan itu),” katanya kepada media di sini, hari ini selepas meninjau projek pembinaan 18 jambatan konkrit di sepanjang Jalan Lundu-Sempadi.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, wang untuk projek tetap ada manakala pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat reka bentuk projek dan mencari kontraktor, tetapi pekerja tidak dibenarkan bekerja di tapak projek sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lepas.

Beliau berkata, kerajaan terpaksa menghentikan sementara kerja di tapak projek bagi membendung penularan Covid-19 demi kesihatan dan keselamatan pekerja dan rakyat.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, pembinaan lapan jambatan konkrit bagi menggantikan lapan jambatan Bailey sedia ada di Jalan Lundu-Sempadi sepanjang 36 kilometer, membabitkan kos RM96 juta, manakala Jambatan Rambungan di laluan yang sama menelan kos RM98 juta.

Katanya, projek jambatan berkenaan termasuk Jambatan Rambungan dibina dengan dana kerajaan negeri setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menarik balik dana yang telah diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu untuk projek Jambatan Rambungan.

Artikel Berkaitan:

Wan Junaidi berkata, pembinaan jambatan berkenaan yang bermula 26 November 2018 dan dijangka siap pada 26 November tahun depan, tetapi disebabkan wabak Covid-19, ia telah tergendala selama tiga bulan.

Beliau kerja pembinaan lapan jambatan konkrit berkenaan masih belum disambung semula disebabkan ramai juruteranya yang dari China masih belum kembali ke sini.

Katanya, apabila siap kelak, jambatan itu akan menjadi penghubung bagi Kuching, Lundu dan Sematan serta Lebuh Raya Pan Borneo, sekali gus menyumbang terhadap transformasi luar bandar. - Bernama