Dana RM350 juta disalur menerusi Agrobank

Dr Ronald Kiandee -Foto Bernama
Dr Ronald Kiandee -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengumumkan bahawa Dana Pembiayaan Mikro Kredit Agro Makanan berjumlah RM350 juta kepada komuniti agro yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19) akan disalurkan menerusi Agrobank.

Ronald berkata, dana disalurkan untuk membantu usahawan mikro yang terlibat dalam sektor agromakanan terutama komuniti agro di bawah kategori B40 yang terjejas kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menampung kos operasi perniagaan mereka.

"Dana ini akan memberi peluang kepada usahawan mikro untuk mendapatkan modal pusingan bagi perniagaan mereka.

"Ianya juga merupakan galakan kepada usahawan baharu yang ingin menceburi bidang agromakanan sebagai modal permulaan selain turut membantu pengusaha sedia ada terutama peniaga pasar tani, pasar nelayan dan pasar pagi," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Antarabangsa untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS) sepertimana yang telah diwartakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tarikh 27 Jun setiap tahun.

Pengumuman itu dibuat beliau susulan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan peruntukan dana berjumlah RM350 juta yang dikhususkan untuk Dana Agromakanan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), 5 Jun lalu.

Susulan itu, Ronald turut mengumumkan kementeriannya menyasarkan lima kelompok usahawan mikro daripada sektor agromakanan iaitu usahawan tani di bawah Agensi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), nelayan di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan pesawah padi.

Ia turut disasarkan kepada perniagaan baru (startup) berasaskan pertanian, hiliran dan makanan serta perusahaan sedia ada berasaskan pengeluaran tani termasuk usahawan mikro.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, melalui Skim Pembiayaan Mikro Kredit di bawah Agrobank, komuniti agro akan diberikan kemudahan pembiayaan tanpa cagaran dengan kadar faedah yang rendah iaitu sebanyak 3.5 peratus dengan had pembiayaan minima RM1,000 dan maksima RM50,000) bagi setiap individu dan tempoh pembiayaan maksima sehingga lima tahun atau 60 bulan.

Justeru itu, Ronald yakin dengan adanya skim itu ia akan menggalakkan penglibatan lebih ramai golongan muda untuk menceburi bidang agromakanan terutama mereka yang telah kehilangan pekerjaan ketika tempoh PKP baru-baru ini tetapi berminat untuk menyertai bidang agromakanan.

“Kementerian akan terus memainkan peranan penting sebagai pemudahcara dalam menjayakan setiap pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan.

"Untuk makluman, kementerian juga sedang melaksanakan pelbagai inisiatif-inisiatif lain di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020 pertama dan kedua serta kini untuk Penjana bagi memastikan sektor agromakanan dapat pulih dengan segera di setiap peringkat rantaian makanan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi serta memenuhi keperluan nutrisi harian," katanya.

Katanya, Penjana adalah satu pelan yang komprehensif dan bertepatan bagi membantu memulihkan dan merancakkan semula sektor dan aktiviti ekonomi yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 dan juga dalam tempoh PKP.