Projek pusat kecemerlangan persenjataan kini dalam proses tender

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama
A
A
A

PEKAN - Projek pembinaan pusat kecemerlangan persenjataan bernilai RM60 juta di Kampung Bukit Cempedak Bintang, Kuala Chini dekat sini yang diluluskan beberapa tahun lepas kini dalam proses tender, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, projek Pusat Ujian Tropika dalam mukim Penyor itu telah diluluskan beberapa tahun lepas oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu iaitu RM40 juta untuk kos pembangunan manakala RM20 juta lagi untuk peralatan.

“Kita (Kementerian Pertahanan) dalam proses untuk tender (projek itu),” katanya ketika ditemui pemberita selepas program ramah mesra bersama veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kawasan Chini di Bandar Dara Chini dekat sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad dan calon BN bagi PRK DUN Chini, Mohd Sharim Md Zain.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, tujuan pembinaan tapak kecemerlangan persenjataan itu adalah bagi membuat percubaan dari segi kesesuaian berdasarkan cuaca negara ini terhadap kenderaan dan peralatan ketenteraan yang dibeli oleh Kementerian Pertahanan.

“Ia (projek) lulus bukan kerana pilihan raya (kecil Dewan Undangan Negeri Chini) ini. Saya umum untuk memaklumkan status projek tersebut. Orang sini (Chini), orang Pekan pun dah tahu (mengenai projek ini) dan perkara ini telah diumumkan dulu.

“Kini bajetnya telah dapat, cuma dalam proses tender dan bila dah ditutup (tender), kita akan anugerahkan tender itu dan bermulalah kerjanya,” katanya.

Ismail Sabri bagaimanapun tidak menjelaskan bila projek itu dijangka bermula.

Artikel Berkaitan:

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim dan dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49. - Bernama