FAMA galakkan pelbagaikan ulam di restoran

Isa (kiri) melihat Rafini menggaul nasi ulam.
Isa (kiri) melihat Rafini menggaul nasi ulam.
A
A
A

ALOR SETAR - Pengusaha restoran dan kedai makan di negeri ini digalak mempelbagaikan jenis ulam-ulaman sebagai hidangan di premis mereka untuk menggalakkan pengambilan makanan lebih berkhasiat.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kedah, Isa Hamzah berkata, ini kerana berdasarkan National Health & Morbidity Servey 2015 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 94 peratus penduduk di negara ini tidak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran dalam kuantiti mencukupi berdasarkan saranan World Health Organization (WHO).

Sehubungan itu katanya, FAMA berharap agar usaha pihak restoran itu berjaya menarik minat orang ramai terutama generasi muda mendekati makanan berkhasiat itu.

"Bagaimanapun, terdapat juga beberapa jenis ulam-ulaman yang terkenal dalam kalangan masyarakat seperti petai, jering, pucuk gajus, ulam raja dan daun pegaga, namun tidak ramai yang mengetahui khasiat dimiliki.

"Antara kandungan nutrisi ulam-ulaman ialah galian seperti mineral, vitamin utama iaitu kalsium, fosforus, besi, natrium dan kalium serta serat," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Lebihkan Makan Ulam-Ulaman dan Sayur Tempatan di sini hari ini

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Penyiaran Kedah, Rafini Othman.

Menurutnya, terdapat pelbagai jenis ulam-ulaman yang tumbuh subur di negara ini malah ia dijual secara komersial dan menjadi sumber pendapatan kepada petani.

"Ulam juga boleh dikatakan sebagai pembuka selera dan pelengkap dalam hidangan makanan yang mana kalau di Kedah, ia dimakan dengan sambal belacan manakala Kelantan dengan budunya," katanya.

Beliau berkata, bagi menambah pengetahuan masyarakat mengenai kelebihan dan khasiat ulam-ulaman ini, orang ramai boleh mendapatkan buku ‘Ulam-ulaman Khazanah Negara dan 1001 Khasiat’ yang telah dilancarkan oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Oktober tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Isa berkata, FAMA Kedah berjaya mencapai nilai jualan mencecah RM23 juta membabitkan Pasar Segar Terkawal di negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jumlah itu adalah hasil jualan kepada 500,000 orang pengguna antara 18 Mac hingga 9 Jun daripada 300 peniaga di negeri ini. Buat masa ini, tiada isu lambakan berlaku di Kedah termasuk penjualan buah-buahan bermusim termasuk durian dan rambutan,” katanya.