NGO minta negeri lain tak guna nama harumanis

Harumanis Perlis adalah hak milik eksklusif kerajaan Perlis selepas Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) meluluskan pendaftaran jenama itu pada 2011 sehingga 2021. - Foto Bernama. Gambar kecil: Hashim Suboh
Harumanis Perlis adalah hak milik eksklusif kerajaan Perlis selepas Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) meluluskan pendaftaran jenama itu pada 2011 sehingga 2021. - Foto Bernama. Gambar kecil: Hashim Suboh
A
A
A

KANGAR - Persatuan Pengusaha Harumanis Perlis meminta negeri lain selain Perlis tidak menggunakan jenama harumanis untuk mempelam diusahakan mereka.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Harumanis Perlis, Datuk Hashim Suboh berkata, ikon Perlis iaitu buah mempelam harumanis Perlis adalah hak eksklusif kerajaan negeri ini.

Katanya, nama tersebut secara rasminya telah disahkan hak milik eksklusif kerajaan Perlis selepas Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) meluluskan pendaftaran jenama itu pada 2011 sehingga 2021.

"Sehubungan itu, tiada mana-mana pihak yang diizin mengguna pakai jenama tersebut untuk produk mereka, biarpun mempelam itu berbuah di tempat lain.

"Larangan penggunaan jenama harumanis ini adalah bagi mengelak kekeliruan pengguna terhadap harumanis Perlis dengan produk mempelam yang sedang diusahakan di lokasi lain," katanya ketika ditemui di Pusat Pemasaran Harumanis Farma Tani, di sini.

Pihaknya turut berharap kerajaan dapat memastikan jenama berkenaan dikekalkan sekiranya negeri lain berhasrat ingin mengembangkan harumanis.

"Jikalau mahu kembangkan harumanis Perlis, maka buah mempelam terbabit juga mestilah dinamakan sebagai harumanis Perlis dan negeri lain tidak boleh menumpang untuk menggunakan jenama itu," katanya.

Hashim berkata, semua negeri lain tidak seharusnya memakai perkataan harumanis pada buah mempelam diusahakan mereka demi memastikan pengguna tidak keliru.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, katanya, Kementerian Pertanian perlu memiliki dasar yang jelas dalam melindungi kepentingan harumanis Perlis supaya identitinya sebagai mangga premium dapat dikekalkan.

Hal ini disebabkan faktor cuaca, sifat tanah dan beberapa teknik tanaman yang betul di Perlis mempengaruhi rasa, kualiti, rasa dan penampilan harumanis tersebut.

Difahamkan, seramai 3,000 pengusaha harumanis berstatus kebun di seluruh Perlis, dengan keluasan 150 hektar tanaman buah mempelam itu ketika ini.

Untuk rekod, industri harumanis Perlis menyumbang sehingga kira-kira RM70 juta ringgit melalui urusan jual belinya.

Sebelum ini, media melaporkan mempelam harumanis tumbuh subur di beberapa negeri termasuk Kedah, Kelantan serta Terengganu yang diberi jolokan sama iaitu ‘harumanis’.